fbpx

Kereta ‘M4442’ gamit memori pengisytiharan kemerdekaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA antik dengan nombor pendaftaran M4442 membawa Anwar dan Ab. Rauf Yusoh ketika Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68 di Banda Hilir, Melaka.

MELAKA – Kereta antik dengan nombor pendaftaran M4442 berwarna merah menggamit kembali memori sejarah pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari 1956.

Kenderaan jenis Nash Rambler Custom convertible buatan 1951 itu pernah dinaiki Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan wakil Sultan Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz sewaktu rombongan kemerdekaan pulang dari London ke Padang Banda Hilir di sini.

Malam tadi, kereta itu kembali membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang melakonkan kembali detik bersejarah tersebut.

Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68 semalam dianggap penuh bersejarah kerana pertama kali diadakan selepas Tunku Abdul Rahman mengumumkan kemerdekaan negara 68 tahun lalu.

Perarakan bermula dari Bangunan Stadhuys menuju ke Dataran Memorial Kemerdekaan sejauh kira-kira 600 meter sehingga ke pentas utama.

Anwar melakonkan watak Tunku Abdul Rahman manakala Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran sebagai Tun V.T. Sambanthan.

Laungan merdeka sebanyak tiga kali bergema sejurus Anwar membacakan Deklarasi Kemerdekaan bagi memperingati pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Keris Sapukal yang pernah dipegang Tunku Abdul Rahman semasa pengisytiharan itu turut diserahkan kepada Anwar oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin yang memegang watak Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Melaka ketika itu, Zainab Samdin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI