fbpx
Seorang anggota bomba sedang memadamkan kebakaran hutan yang berlaku di Merang, Setiu pada tahun lalu.

Hutan, ladang mudah terbakar ketika El Nino

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Cuaca panas disebabkan fenomena El Nino yang sedang melanda negara pada penghujung Monsun Timur Laut (MTL) ini dibimbangi bakal meningkatkan risiko kebakaran melibatkan hutan, ladang, kebun dan belukar di seluruh negara termasuk Terengganu.

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang dikeluarkan 13 Februari lalu, cuaca panas dengan suhu maksimum lebih 35 darjah Celsius tersebut diramal berlangsung sekurang-kurangnya sehingga penghujung bulan Mac depan.

Begitupun, Pusat Ramalan Perubahan Cuaca (CPC), Amerika Syarikat menjangkakan impak cuaca terik dibawa oleh feno­mena El Nino berkenaan berkemungkinan melanda kawasan Khatulistiwa termasuk negara ini sekurang-kurangnya bulan Jun depan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, pihaknya sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan peningkatan kes kebakaran berikutan cuaca panas tersebut.

Jelas beliau, persediaan itu sebagai mengambil pengajaran lonjakan kes kebakaran terutama melibatkan hutan, kebun, ladang dan belukar di negeri ini ekoran fenomena sama pada tahun lalu.

“Kes kebakaran di Terengganu pada tahun lalu meningkat 70 peratus iaitu 1,738 kes berban­ding 1,024 kes pada tahun 2022.

“Ia disebabkan lonjakan kes kebakaran melibatkan ladang, kebun, hutan dan belukar sehingga 450 peratus kebanyakannya berlaku sewaktu musim panas antara bulan Mac hingga Mei pada tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Hassan ‘As’ari berkata, seba­nyak 11 kes kebakaran melibatkan ladang dan kebun dilaporkan di Terengganu pada tahun lalu iaitu peningkatan 450 peratus.

Tambah beliau, kebakaran hutan juga naik 283 peratus dengan 92 kes dilaporkan pada tahun lalu.

“Sebanyak 832 kes kebakaran belukar dan lalang diterima iaitu peningkatan 165 peratus dalam tempoh sama.

“Kebakaran melibatkan bangunan, kenderaan dan perkakasan juga naik antara lima hingga 53 peratus pada tahun lalu,” katanya.

Hassan ‘As’ari berkata, feno­mena El Nino yang bukan sahaja menyebabkan cuaca panas malah udara kering dan taburan hujan rendah juga antara pemang­kin bertambahnya risiko kebakaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN