fbpx

Suami gagal sambut pelampung yang saya baling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nora Elina (kiri) ketika ditemui di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu hari ini. - Foto oleh PUQTRA HAIRRY ROSLI / KOSMO!

KUALA TERENGGANU – Keseronokan seorang ahli perniagaan bersiar-siar di gigi pantai bertukar tragedi apabila dia dikhuatiri lemas apabila ditarik ombak di Pantai Batu Burok di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.20 pagi tersebut, mangsa, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, ditarik ombak besar musim tengkujuh itu sambil disaksikan isterinya, Nora Elina Abdul Khalit, 44, dan dua anak mereka.

Nora Elina berkata, sewaktu kejadian, dia dan dua anaknya berusia sembilan dan 11 tahun bermain pasir, manakala suaminya pula berjalan-jalam di gigi pantai.

“Sekelip mata suami saya (Zulkarnain) tiba-tiba ditarik ombak besar sebelum dihanyutkan ke tengah laut.

“Saya yang panik sempat mengambil pelampung sebelum membalingnya ke arah suami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di Pantai Batu Burok di sini hari ini.

Nora Elina berkata, pelampung itu gagal disambut Zulkarnain menyebabkan dia nekad berenang untuk menyelamatkan suaminya.

Ceritanya, ombak yang terlalu besar dan arus kuat menyebabkan suami semakin menjauh ke tengah laut.

“Saya juga hampir lemas namun bernasib baik diselamatkan pengunjung lain yang turut menyaksikan kejadian.

“Fikiran saya kosong sekarang cuma harap suami saya dapat diselamatkan,” katanya dalam keadaan hiba.

Nora Elina berkata, mereka yang berasal dari Kuala Lumpur memberitahu tiba di Terengganu untuk bercuti pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Pegawai Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Yusmizan Yusof berkata, sepasukan 13 anggota bomba termasuk pasukan penyelamat di air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kes lemas tersebut pada pukul 11.31 pagi.

“Gerakan mencari Zulkarnain sedang giat dilakukan dalam radius 20 meter dari kawasan pesisir pamtai.

“Setakat ini, operasi menumpukan misi mencari mangsa di permukaan air,” katanya.

Yusmizan memberitau, pasukan bomba berdepan cabaran dalam pencarian di air ini ekoran ombak besar dan arus kuat pada penghujung Monsun Timur Laut ini.

“Saya menasihatkan orang ramai agar menjauhi aktiviti air termasuk pantai kerana musim tengkujuh masih belum berakhir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI