fbpx
Tangkap layar menunjukkan seorang suspek yang membakar kereta polis bantuan.

Suspek bakar MPV melecur, sempat ke klinik sebelum dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mahu meraih tontonan tinggi di TikTok dipercayai motif seorang lelaki membakar kereta polis bantuan dan menconteng perkataan jelik di hentian bas Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd. Fakhrudin Abdul Hamid ber­kata, suspek berusia 25 tahun itu juga didapati positif dadah jenis morfin.

“Hasil siasatan lanjut mengesan suspek tiada rekod jenayah lampau.

“Semakan di akaun media sosial pula mendapati suspek telah memuat naik video kebakaran tersebut yang berdurasi lima saat di TikTok dipercayai akaun miliknya,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Tambah beliau, polis merampas beberapa peralatan antaranya tukul besi dan botol air bagi mengisi petrol disyaki digunakan dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu, menurut sumber, suspek telah menggunakan penukul untuk memecahkan cermin tingkap hadapan kereta polis bantuan terbabit di bahagian penumpang.

Katanya, lelaki terbabit telah menuang sebotol minyak petrol ke dalam kereta dan kemudian menyalakan api. Suspek juga melecur akibat terkena api dalam kejadian itu dan mendapatkan rawatan di klinik swasta

Lelaki itu kemudian pulang ke rumah di Flora Damansara, di sini, sebelum ditangkap polis kira-kira pukul 10 pagi semalam. Hasil penelitian rakaman te­le­visyen litar tertutup mendapati suspek hanya seorang diri.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pekerja p-hailing ditahan selepas disyaki membakar kereta polis bantuan di hentian bas di Stesen MRT Mutiara Damansara.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.42 pagi semalam.

Kes disiasat mengikut Sek­syen 435 Kanun Keseksaan ­kerana perbuatan khianat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN