fbpx

‘Letak banyak baru ada pelanggan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ana (tengah) ketika ditemui pihak penguatkuasa DBKL di tapak parkir sebelah UKM, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.

‘KUALA LUMPUR – Beberapa peniaga menawarkan khidmat sewa basikal di sekitar Taman Tasik Titiwangsa di sini mengakui mereka terpaksa meletakkan basikal secara banyak di hadapan gerai bagi menarik minat orang ramai yang berkunjung ke kawasan rekreasi tersebut.

Menurut salah seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Ana berkata, antara syarat dalam lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah peniaga hanya dibenarkan menyediakan 25 unit basikal sahaja dalam satu-satu masa.

Katanya, jumlah tersebut terlalu sedikit menyebabkan orang ramai kurang berminat untuk mendapatkan khidmat menyewa basikal di kedainya.

Jelas Ana berkata, menjadi satu strategi pihak peniaga untuk memeriahkan suasana ruang niaganya dengan menyediakan pelbagai jenis basikal dalam kuantiti yang banyak agar orang ramai dapat membuat pilihan mengikut cita rasa dan keselesaan masing-masing.

“Mereka (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)) hadkan boleh ada 25 basikal sahaja dekat tapak. Masalahnya kalau letak sedikit basikal, nampak ‘sendu’ (tak meriah). Orang pun jadi tak berminat nak singgah gerai untuk sewa basikal kalau tak banyak pilihan.

“Jadi memang kena letak lebih dalam 30 hingga 40 basikal dalam satu masa untuk bagi pelbagai pilihan kepada pelanggan. Kami pun sentiasa beli basikal yang baru ikut cita rasa terkini pelanggan. Kalau sedikit sahaja boleh letak, memang pelanggan pun boleh kurang,” katanya kepada Kosmo!

Ana ditemui sewaktu Kosmo! mengikuti operasi Tindakan Khas Jabatan Penguatkuasaan DBKL siri ke-2 tahun 2024 di tapak parkir bersebelahan Universiti Kebangsaan Malaysia, Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Tambah Ana, dia berharap agar DBKL dapat mempertimbangkan penambahan jumlah kuota basikal kepada peniaga sekurang-kurangnya 40 unit.

Dalam pada itu, operasi tersebut, DBKL telah menyita lebih 100 basikal dan lebih 30 skuter elektrik serta kenderaan beroda (tuk-tuk) daripada aktiviti khidmat sewa tanpa lesen serta peniaga yang melanggar syarat lesen mengikut Undang Undang kecil 24 (1) UUK Perlesenan dan Penjaja WPKL 2016. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI