PERSEFAHAMAN dalam rumah tangga menjadi elemen terpenting bagi memastikan ikatan perkahwinan kekal berpanjangan.
Dalam erti kata lain, komunikasi dua hala di antara pasangan suami isteri sangat dituntut dalam rumah tangga.
Mengimbas cerita perceraian lima tahun lalu, Aizat (bukan nama sebenar) mengakui tidak akan pernah melupakan apa yang telah terjadi dalam hidupnya.
Memulakan kisah, dia yang merupakan seorang kontraktor binaan sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Pun begitu ujarnya, ikatan suci pernikahan itu tidak lama dan hanya mampu bertahan selama empat tahun sahaja.
“Pertemuan antara saya dan Ika (bukan nama sebenar) yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta berlaku secara tidak disengajakan ketika kami sama-sama berada dalam satu acara di ibu kota.
“Jadi, beberapa tahun mengenali hati budi masing-masing dan semakin selesa, kami putuskan untuk bernikah,” katanya memulakan bicara.
Kongsi Aizat, 35, lagi, selepas bernikah, mereka tinggal di rumah Aizat yang sudah dibeli beberapa tahun sebelum itu.
Ujar Aizat, pada fasa awal sebagai suami isteri, semuanya berjalan lancar dan masing-masing fokus dengan karier.
Kebiasaannya, mereka akan keluar bersama pada setiap hujung minggu dan sesekali pulang ke kampung menziarahi orang tua.
“Kampung isteri tidak jauh dari ibu kota dan hanya mengambil masa tidak sampai satu jam dari kediaman tempat kami tinggal.
“Kampung saya pula di Perlis, jadi agak terhad untuk saya pulang ke kampung dan akan balik ke sana tiga atau empat bulan sekali saja,” katanya.
Menurut Aizat, sejak awal perkahwinan, isterinya memang kerap pulang ke kampung menziarahi kedua-dua ibu bapanya. Kadangkala mereka akan pulang berdua dan ada masanya hanya isterinya seorang.
“Isteri merupakan anak bongsu dalam adik-beradik. Dia juga anak manja dan memang rapat dengan orang tua.
“Jadi, kalau kami tidak ke mana-mana atau pada hujung minggu, isteri pasti akan minta izin untuk pulang ke kampung pada Jumaat sebelah petang selepas dia habis bekerja.
“Saya sebagai suami tiada masalah untuk itu (izinkan isteri). Lagipun ketika itu kami masih belum dikurniakan anak.
“Tapi yang menjadi masalah dan timbul isu adalah selepas kami dikurniakan seorang anak, isteri tetap masih dengan ‘tabiat’ lamanya.
“Maksud saya, isteri tetap dengan tabiatnya yang kerap pulang ke kampung. Saya tiada masalah dengan itu, yang menjadi masalah apabila dia tinggalkan anak macam itu sahaja dan sudah tidak minta izin seperti sebelumnya,” tuturnya.
Tambah Aizat, paling menyakitkan hati, Ika seakan-akan sudah mula naik tocang apabila membiarkan dan meninggalkan kerja-kerja dan urusan di rumah kepada saya termasuk soal menjaga anak pada hujung minggu.
Katanya, dia sendiri tidak faham kenapa isterinya berkelakuan begitu dan seolah-olah mengelak daripada tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
“Saya rasa saya ni suami yang tidak berguna. Saya tidak kisah dia kerap balik kampung hampir tiap minggu, tapi janganlah sampai tinggalkan tanggungjawab dan ‘derhaka’ kepada suami.
“Dia (isteri) bukan anak dara atau janda. Dia ada suami. Dia juga ada anak. Dia ada tanggungjawab. Tapi kenapa seolah-olah tidak mengendahkan?” soalnya.
Dua tahun ‘diperlakukan’ sedemikian rupa meskipun pernah beberapa kali berusaha untuk berbincang empat mata bersama isteri, namun tiada jalan kesudahan dan semuanya gagal.
Puas berfikir masak-masak dan sudah terbiasa ‘ditinggal’ bersendirian, Aizat nekad melepaskan isterinya di sebuah mahkamah syariah.
Paling perit, selepas berpisah, bekas isterinya ada memberitahunya yang dia sebenarnya sudah ‘tiada hati’ selepas beberapa bulan bernikah dan kembali menjalin hubungan dengan kekasih lama yang tinggal di kampungnya.















