fbpx

Sindiket penipuan antarabangsa di Bukit Bintang tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli pada sidang media berkenaan tangkapan sindiket penipuan antarabangsa di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sebuah sindiket penipuan antarabangsa yang beroperasi di sebuah premis pejabat di Jalan Bukit Bintang di sini pada 6 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 31 lelaki dan 18 wanita berusia lingkungan 20 hingga 41 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.

Menurut beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada warga Armenia, Senegal, Algeria, Morocco, Mauritius, Guinea, Togo, Cameroon, Haiti, Djibouti, Madagascar, Congo, lvory Coast, Chad, Tunisia, Ukraine dan dua warga Malaysia.

“Berdasarkan siasatan awal, sindiket ini terlibat dengan penipuan pelaburan Forex yang menyasarkan rakyat Perancis, Ukraine, United Kingdom dan Switzerland.

“Kumpulan ini akan menghantar pesanan ringkas secara rawak melalui (aplikasi) Telegram dan Website Riacapital yang mengandungi pautan iklan pelaburan dalam talian kepada sasaran mereka menggunakan aplikasi Zopier dan Link CRM.

“Setelah mangsa menyatakan berminat dengan tawaran pelaburan, mangsa akan diajar untuk melabur dalam skim tersebut. Setakat ini, dua OKT (orang kena tangkap) warga Malaysia dibebaskan dengan jaminan polis setelah reman terhadap mereka tamat pada 10 Februari 2024.

“Seorang OKT perempuan warga asing telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 8 Februari 2024 kerana mengandung, manakala lain-lain OKT direman di bawah Akta Imigresen 1959/63 masing-masing sehingga 23 dan 24 Februari 2024,” katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Ramli berkata, sindiket penipuan antarabangsa itu dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi jenayah mereka kerana fasiliti dalam talian yang baik di negara ini.

Kata beliau, sebanyak 47 set komputer, 49 unit telefon bimbit pelbagai jenama, enam unit laptop serta dua unit televisyen dirampas dalam serbuan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, PDRM berjaya menggagalkan rancangan empat lelaki warga Taiwan dan tiga lelaki serta seorang perempuan tempatan cuba mewujudkan hub pusat panggilan penipuan di Malaysia.

Kata beliau, kesemua mereka berusia lingkungan 31 hingga 44 tahun ditahan pada 31 Januari lalu di dua unit premis di sekitar Kuala Lumpur hanya beberapa hari selepas warga Taiwan terlibat memasuki Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI