fbpx
Gambar hiasan

Gambar lucah bikin artis fobia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERDEPAN kecaman lumrah sebagai personaliti popular, namun diganggu dengan mesej lucah termasuk kiriman gambar tidak senonoh merupakan mimpi ngeri yang turut dihadapi mereka.

Ada dalam kalangan mereka masih tegar berdepan kutukan, tetapi apabila membabitkan gangguan seksual walaupun secara maya, tindakan jijik itu mampu mencetuskan fobia.

Ayat meloyakan yang ka­dangkala disulami foto menunjukkan bahagian intim seolah-olah usikan biasa kononnya pengirim sekadar mahu bergurau dengan idola kesayangan.

Malah, jika selebriti yang menjadi mangsa mendedahkan gangguan diterima kepada khalayak atas dasar ingin memberi peringatan atau amaran, timbul pula puak yang menyalahkan si mangsa.

Pelbagai alasan diberi termasuk mendakwa pengadu berpa­kaian seksi seperti yang terjadi kepada Baby Shima.

Bahkan, artis yang menggalas status janda seperti Elly Arifin tidak terkecuali menjadi mangsa lelaki miang.

Hakikatnya, bukan hanya golongan popular, wanita biasa juga menjadi mangsa individu gila seks dalam media sosial, cuma selebriti lebih ramai ‘terkena’ disebabkan wujudnya golongan yang menganggap ­artis milik mereka.

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad, berkata perbuatan biadab sehingga sanggup menghantar gambar lucah kebiasaan dilakukan individu yang sudah sampai ke tahap psiko.

Katanya, mereka ini sebenarnya sekadar mahu mencuba nasib, tetapi andai mangsa konsisten tidak melayan boleh membuatkan pelaku bosan, seterusnya berhenti menganggu.

“Dalam hal ini artis atau mana-mana wanita kena bertegas dengan tidak melayan individu berkenaan kerana kebiasaannya dia akan cepat jemu selepas beberapa siri percubaan menarik perhatian mangsa gagal.

“Begitupun, pada masa sama mangsa kena menjaga mental supaya tidak hidup dalam ketakutan disebabkan kiriman mesej memualkan sebegitu termasuk mendapatkan sokongan keluarga, rakan sekerja, nasihat profesional selain mengambil langkah keselamatan.

“Perlu memperkuatkan sekuriti peribadi dan menyimpan rekod segala bukti gangguan jika perlu untuk kegunaan di kemudian hari kerana gangguan sebegini tidak boleh dianggap sekadar usikan biasa.

“Isu ini melibatkan pencerobohan privasi dan berkemungkinan mencetuskan kesan psikologi serius dan ­mangsa perlu bertindak membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya tindakan boleh diambil,” katanya.

Menurut Fauziah lagi, isu gangguan seksual secara maya ini tidak boleh dipandang remeh kerana ketakutan dan tekanan berterusan boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental untuk jangka masa panjang.

“Impak cemas, kemurungan dan trauma boleh tercetus, jadi penting untuk kita mendapatkan bantuan profesional agar tidak memberi kesan terhadap emosi dan aktiviti harian.

“Manakala netizen juga boleh sama-sama melakukan tanggungjawab sosial dengan memberikan sokongan moral kepada sesiapa saja yang menjadi ­mangsa.

“Keterbukaan medium maya bukan lesen untuk kita membenarkan anasir mahu pun individu sebegini berterusan membuat kacau ganggu yang ditakuti menjurus ke arah jenayah fizikal,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN