fbpx

Malaysia tuan rumah ASIAN MEDTEC 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Dzulkefly Ahmad ketika melancarkan Pra Pelancaran Persidangan Teknologi Perubatan Antarabangsa Asia (Asia MedTec 2024) di Putrajaya di sini, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Malaysia akan menjadi destinasi pusat inovasi teknologi dan peranti perubatan terbaharu apabila terpilih sebagai tuan rumah Persidangan dan Pameran Teknologi Perubatan Antarabangsa Asian (ASIAN MEDTEC 2024) pada Disember depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ASIAN MEDTEC 2024 akan berlangsung pada Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 10 hingga 12 Disember depan.

Beliau berkata, program anjuran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) itu dijangka menarik lebih daripada 250 syarikat pempamer dan 10,000 pengunjung daripada 25 negara.

“Turut berlangsung pada program sama termasuk Mesyuarat Tahunan Global Harmonization Working Party (GHWP) yang ke-28 yang bakal mengumpulkan delegasi pihak berkuasa dan industri daripada 34 negara seluruh dunia.

“Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi Mesyuarat Tahunan GHWP memberi isyarat penglibatan aktif Malaysia dalam landskap teknologi dan peranti perubatan antarabangsa semakin meningkat,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pra pelancaran program itu di sini, hari ini.

Katanya, program itu diharap dapat meletakkan Malaysia sebagai pusat pemasaran dan pengedaran strategik peranti perubatan bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga untuk pasaran serantau yang lebih luas.

Dr. Dzulkefly berkata, ASIAN MEDTEC 2024 dijangka menjadi platform pelancaran bagi produk inovasi baharu selain memperkukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pengeluaran peranti perubatan dan aktiviti rantaian bekalan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI