BALING – Hasrat seorang bapa untuk membesarkan ruang dapur rumah dengan membina sendiri berakhir tragedi apabila dinding bata tersebut runtuh dan menimpa dua anak lelakinya dalam kejadian di Kampung Padang Lalang Besah, Kuala Ketil di sini kelmarin.
Menurut Wan Mohamad Solehudin Wan Abdul Razak, 39, kejadian itu mengakibatkan anak keduanya, Wan Abdul Aziz, 8, mengalami cedera parah pada anggota badan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tawar, manakala anak bongsunya, Wan Mohd Baihaqi, 4, cedera ringan
dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu.
“Semasa kejadian hanya isteri, Siti Zabedah Wan Daud, 30, dan tiga anak berada di rumah, sementara saya bekerja di sebuah kilang di Kulim,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, sebelum kejadian isterinya memaklumkan bahawa dia berkali-kali melarang dua anak lelakinya daripada bermain di kawasan pembinaan ruang dapur itu kerana angin kuat.
“Isteri saya juga menyuruh anak-anak masuk ke dalam rumah kerana bimbang mereka terjatuh dan sebagainya, namun tidak diendahkan dan mereka terus bermain seperti biasa sebelum terdengar bunyi deruan angin diikuti bunyi kuat seperti benda terjatuh.
“Isteri terus meminta anak sulung, Wan Nur Saidatul Nafisha, 10, untuk melihat apa yang berlaku sebelum memberitahu adiknya ditimpa bata daripada dinding yang runtuh,” ujarnya.
Ujar Wan Mohamad Solehudin, isterinya melihat sendiri keadaan anak tersepit di bawah runtuhan dinding, namun tidak mampu mengalihkan binaan tersebut sebelum meminta pertolongan jiran.
“Isteri mendapati seluruh belakang badan Wan Abdul Aziz ditimpa dengan bata dinding dan mengakibatkan pendarahan dan meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tawar.
“Anak bongsu turut ditimpa dengan bata dinding di bahagian belakang badan, tetapi hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Jenazah Wan Abdul Aziz dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Besah petang kelmarin.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.













