fbpx
GAMBAR HIASAN

Petualang lindungi PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERMASALAHAN berkait pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia tidak akan pernah menemui jalan penyelesaian sekiranya masih wujud rakyat sendiri yang hilang rasa tanggungjawab dan melindungi mereka ini.

Seharusnya, masyarakat perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras PATI yang semakin membanjiri segenap kota raya bahkan ada yang sempat mengambil peluang memonopoli perniagaan dalam negara.

Pada 3 Februari lalu, penulis sempat turun padang bersama Jabatan Imigresen Malaysia di Pasar Borong Selayang, Seri Kembangan, Selangor dalam operasi bersepadu bagi pemeriksaan serta penahanan PATI atau kesalahan lain melibatkan warga asing dalam negara.

Dalam operasi terbabit, lebih 500 individu warga asing dari beberapa negara telah diperiksa oleh imigresen, malah ada juga yang bertempiaran melarikan diri sebaik sahaja melihat kenderaan pihak berkuasa memasuki pekarangan pasar basah itu.

Lantaran itu, operasi itu juga berjaya merungkai lebih 10 premis gerai milik warga tempatan telah dijual kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan bahkan wujud fenomena warga asing bekerja menggunakan lesen diberikan warga tempatan.

Akibat pembongkaran itu, penulis tidak semena-mena menganggap warga tempatan yang terlibat dalam hal berkenaan adalah insan tidak bertanggungjawab dan pembelot kepada negara sendiri kerana sanggup membiarkan perniagaan dimonopoli warga asing.

Bagi masyarakat yang tidak cakna mengenai isu ini mungkin mereka berfikiran tidak salah memberi peluang pekerjaan dan perlu ada belas kasihan sesama manusia.

Namun, adakah mereka sendiri tidak memandang lebih jauh ke depan dan merenung implikasi perbuatan mereka yang kononnya ‘membantu’ sesama manusia itu?

Rentetan isu ini, Datuk Bandar Majlis Bandar Subang Jaya, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim yang turut menyertai operasi ketika itu, bertegas akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam ‘Ali Baba’ tapak mahupun lesen perniagaan.

Setiap negara memiliki undang-undang tersendiri yang mana perlu dipatuhi oleh rakyat mahupun pendatang dari negara lain. Bak kata pepatah, di mana bumi dipijak, disitu langit dijunjung.

Tidak dinafikan penulis juga turut rasa kasihan menyaksikan mereka merayu dan menangis minta dilepaskan ketika ditahan pihak berkuasa, namun apakan daya, tindakan tegas perlu diambil selangkah lebih awal sebelum ia menjadi ‘barah’ kepada masyarakat.

Terlampau banyak keburukan serta kesan apabila golongan PATI ini membanjiri negara khususnya dari sudut mengancam keselamatan atau bahasa mudahnya adalah kegiatan jenayah yang mana sebelum ini kita pun sudah disajikan dengan berita-berita jenayah dilakukan PATI.

Memetik laporan Kosmo! pada awal Januari lalu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, seramai 153 PATI ditangkap selepas terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah di negeri Kelantan sepanjang tahun lalu yang membabitkan kes pecah rumah, khianat, rompakan berkumpulan, rogol, penculikan dan lain-lain.

Jenayah dilakukan rakyat sendiri sudah bertimbun kini ditambah pula dengan jenayah yang dilakukan PATI. Ini hanya sedikit yang baru ‘dicungkil’ penulis, mungkin lain waktu kita akan rungkai implikasi dari sudut lain pula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN