KOMUNITI gelandangan menghadapi cabaran besar dalam kehidupan apabila kurang mendapat akses terhadap barangan keperluan asas seperti air dan kemudahan produk sanitasi.
Ini menjadikan mereka lebih terdedah terhadap masalah kesihatan ekoran persekitaran yang kotor dan penggunaan air yang tidak dirawat.
Produk penjagaan kebersihan seperti tisu basah antibakteria merupakan antara barangan yang perlu sentiasa ada di sisi gelandangan.
Sekiranya mereka tidak mempunyai akses yang mudah terhadap air dan produk pembersihan diri lain, tisu basah antibakteria boleh digunakan untuk membersihkan kulit.
Menyedari hakikat ini, sesetengah pihak tampil untuk memberi sumbangan tisu basah kepada golongan ini serta mereka yang memerlukan.
Antaranya ialah syarikat penjagaan barangan keluarga di negara ini, BZU BZU yang memberikan impak positif kepada masyarakat melalui siri inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pada 10 Januari lalu, pasukan BZU BZU telah mengagihkan tisu basah antibakteria kepada komuniti gelandangan dan kurang berkemampuan di sekitar Kuala Lumpur.
Inisiatif tersebut memberi tumpuan untuk membantu komuniti gelandangan dan kurang berkemampuan melalui kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut berhasrat menyumbangkan barangan itu.
Ia juga selaras dengan pegangan BZU BZU bahawa akses terhadap barangan keperluan asas meliputi barangan kebersihan diri perlu diberi kepada semua tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

Sehingga kini, BZU BZU telah menyumbangkan sebanyak 30,000 unit tisu basah antibakteria bernilai RM350,000 kepada beberapa buah NGO tempatan seperti Suriana Welfare Society, The Hope Branch, Kechara Soup Kitchen, MERCY Malaysia, SHELTER Home For Children dan Agathians Shelter.
Inisiatif ini masih berterusan di mana lebih banyak NGO tempatan dapat menerima manfaat daripada usaha ini.
Ketua Pegawai Eksekutif BZU BZU, Raphael Jiang berkata, kebersihan menjadi faktor paling utama dalam kesihatan.
“Kebersihan merupakan perkara paling asas untuk kesihatan diri dan tisu basah antibakteria menjadi satu produk tambahan kebersihan yang cukup penting.
“Inisiatif ini menandakan bahawa tiada seorang pun diabaikan dalam hal menjaga kebersihan yang secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan kebersihan masyarakat secara menyeluruh.
“Dengan menerajui kempen ini, kami ingin menekankan betapa pentingnya menjaga kebersihan diri untuk memastikan kehidupan yang lebih sihat khususnya buat golongan yang memerlukan,” katanya.
Terdahulu, inisiatif program CSR, BZU BZU itu kali pertama dilakukan dengan memperluaskannya kepada Suriana Welfare Society di mana BZU BZU mengedarkan tisu basah antibakteria kepada komuniti kurang berkemampuan di Kawasan Rukun Tetangga, Pangsapuri Taman Desa Ria Fasa 1.
BZU BZU juga telah menyertai sesi pengedaran tisu basah kepada penghuni The Hope Branch di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit selain mengagihkan bungkusan makanan kepada komuniti gelandangan di sana.














