fbpx

Sinar Kasih Ramadan bantu 3,927 keluarga sejak 2008

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hartini (dua dari kanan) ketika menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama beberapa penaja di pejabat YBK, Petaling Jaya hari ini. Foto oleh Muhammad Amarullah Zainuzzaman/ KOSMO!

PETALING JAYA – Seramai 3,927 keluarga telah menerima manfaat daripada program Sinar Kasih Ramadan (SKR) anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) sejak diperkenalkan pada 2008 yang lalu.

Pengerusi Program SKR, Datin Hartini Osman berkata, bagi penganjuran kali ke-16 tahun ini, pihaknya berhasrat untuk membantu 200 lagi keluarga dengan nilai tajaan sebanyak RM600 untuk satu keluarga di samping sumbangan barangan daripada penaja-penaja korporat.

Jelas beliau, objektif SKR adalah untuk meringankan beban keluarga fakir, miskin dan asnaf terpilih sepanjang bulan Ramadan khususnya dalam perbelanjaan berbuka dan bersahur.

“Sejak dilaksanakan pada tahun 2008, sebanyak 3,927 keluarga telah menerima manfaat daripada program ini, pihak kami melihat kepada beberapa kriteria, antaranya berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan juga keadaan sosio-ekonomi keluarga terlibat.

“Maklumat keluarga fakir, miskin dan asnaf terpilih ini diperoleh daripada sumber seperti pihak sekolah, ketua komuniti, rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan-sukarelawan YBK sendiri,” jelasnya ketika sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Program Sinar Kasih Ramadan di sini hari ini.

Tambah Hartini, setiap data yang diterima akan dipastikan kesahihan dan kelayakannya sebelum disenarai pendek untuk menerima bantuan tersebut.

Katanya, penyerahan sumbangan akan dilaksanakan sebelum bermulanya Ramadan dan laporan penyerahan akan dipaparkan di media sosial dan laman web YBK bagi menjamin ketelusan.

“Pihak kami juga mengalu-alukan sumbangan daripada individu, organisasi dan badan-badan korporat untuk bersama-sama menaja keluarga ini. Sumbangan yang diberikan layak menerima potongan cukai pendapatan.

“Semoga Program Sinar Kasih Ramadhan kalio ke-16 ini berjalan lancar dan YBK menyeru agar masyarakat bersama-sama membudayakan sifat bersedekah sebagaimana pepatah menyebut niat yang bersih, baunya suci,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI