fbpx

Petisyen bukan kepentingan peribadi, hanya pertahan kedaulatan negara – Nik Elin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Elin (kanan) dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha ketika keluar dari Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini. Foto Faiz Alif Zubir/Kosmo!

PUTRAJAYA – Peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid berkata petisyen yang dikemukakan bagi mencabar 18 peruntukkan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan bukan kepentingan peribadi.

Sebaliknya, wanita berusia 62 tahun itu berkata petisyen yang dibuat adalah bagi mempertahankan kedaulatan negara.

“Sebagai peguam, saya percaya memang tugas kita sebagai pengamal undang undang untuk menegakkan dan mempertahankan kedaulatan undang undang….saya buat bukan untuk diri saya, saya buat untuk semua,” katanya.

Tambahnya, meskipun dikeji, dihina dan dilemparkan dengan kata-kata kesat berikutan petisyen itu, beliau tetap bersyukur kerana berjaya menegakkan Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan Malaysia.

Sementara itu, ketika ditanya reaksi penduduk Kelantan, Nik Elin memberitahu tiada apa yang tidak baik berlaku.

“Saya balik Kelantan saya tiada kena kecaman pun, semuanya menyokong saya. Kalau yang kata (ada kecaman) saya rasa itu manipulasi fakta sebab saya tiada masalah,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8 -1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukkan enakmen tersebut.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu.

Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI