fbpx

Kedudukan Mahkamah Syariah kekal utuh – Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im.

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menegaskan bahawa kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia adalah kekal utuh dengan jaminan kedudukannya sebagaimana dinyatakan jelas di dalam Perlembagaan.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Mohd. Naim berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berusaha segera mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes ini untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya

Jelasnya, selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini yang akan segera dijalankan, perancangan-perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia.

“Beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini.

“Segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, beliau juga akan segera memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah untuk menyembah maklum akan hal keputusan mahkamah hari ini.

“Saya juga akan segera memohon menghadap Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara yang berkaitan.

“Saya juga akan segera memanggil semua pemegang taruh berkaitan, semua pihak yang terlibat dengan Mahkamah Syariah untuk kita sama-sama berbincang dan menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi Mahkamah Syariah,” ujarnya.

Mohd. Na’im meminta semua pihak untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam.

“Akhirnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI