fbpx

Jangan politikkan keputusan pembatalan 16 Enakmen Syariah Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairuddin.

PETALING JAYA – Keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan tidak wajar dipolitikkan untuk kepentingan mana-mana pihak.

Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, keputusan tersebut merupakan isu bersama umat Islam untuk memperkasakan lagi kedudukan Islam dan undang-undang kesalahan Syariah dalam negara.

“Kesedaran dan sentimen umum umat Islam dalam negara hari ini tentang pentingnya memperkasakan syariah khususnya apabila petisyen membatalkan enakmen kesalahan Syariah ini di bawa ke Mahkamah Persekutuan adalah sesuatu yang sangat positif dan menunjukkan kejayaan sistem pendidikan Islam arus perdana dalam negara ke arah memupuk kefahaman beragama dalam kalangan umat Islam.

“Isu yang berbangkit ialah tentang bidang kuasa menggubal undang-undang kesalahan Syariah. Adakah Dewan Undangan Negeri (DUN) turut mempunyai kuasa dalam perkara kesalahan jenayah yang telah tersenarai dalam jadual Persekutuan.

“Atas kefahaman bahawa ia adalah juga kuasa DUN maka negeri-negeri bukan hanya Kelantan sejak 1980-an lagi telah menggubal enakmen kesalahan syariah dan telah diguna pakai untuk menghukum umat Islam yang melakukan kesalahan di negeri-negeri menerusi Mahkamah Syariah,” jelas beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Khairuddin, enakmen Kesalahan Syariah (1) Kelantan adalah lanjutan enakmen yang dibuat pada 80-an kemudian dipinda pada 90-an oleh DUN Kelantan. Pembatalan 16 enakmen kesalahan Syariah ini turut akan menjejaskan enakmen seumpamanya di negeri-negeri lain.

Kata beliau, kerajaan persekutuan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi untuk mengkaji isu-isu berbangkit bagi dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia dan Majlis Raja-raja.

“Sebarang isu melibatkan hal ehwal Islam perlu dibawa kepada Majlis Raja-raja sebagai pemegang amanah menjaga dan memelihara Islam dalam negara menerusi kuasa negeri sesuai dengan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri,” jelas belaiu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI