UCAPAN setinggi tahniah kepada pelbagai pihak khususnya pengurusan masjid di atas inisiatif melaksanakan kempen solat subuh berjemaah baru-baru ini yang akhirnya mencetuskan fenomena ke seluruh pelosok negara.
Malah kempen itu turut dilaksanakan di negara jiran Singapura, Brunei dan Indonesia. Ternyata kempen #GengSubuhMacamJumaat seperti yang turut digerakkan oleh selebriti Alif Satar memberikan impak yang berkesan.
Apabila memperkatakan mengenai solat berjemaah di masjid ini, penulis teringat dengan kerinduan kita terhadap masjid apabila kita dilarang berbuat demikian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020.
Larangan menyeluruh itu melibatkan semua aktiviti termasuk keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Umat Islam juga dikehendaki menangguhkan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat.
Ketika ini banyaklah suara-suara sumbang yang begitu marah apabila mereka mendakwa umat Islam tidak sepatutnya dihalang untuk berjemaah di masjid.
Semoga yang mengimarahkan masjid dan surau ketika ini adalah termasuk dalam kalangan mereka ini. Jangan pandai bising di media sosial tetapi apabila pintu masjid terbuka luas, bayang pun tidak kelihatan!
Berbalik kepada ibadat solat berjemaah di masjid, suatu yang begitu mengecewakan penulis sehingga kini ialah apabila masih ada sebilangan yang tidak prihatin mengenai perilaku meletak kenderaan khususnya ketika solat Jumaat.
Kita akui solat Jumaat itu wajib dan semua mahu menunaikan ibadat berkenaan, namun jika datang lambat dan parkir secara berlapis (double park) atau parkir di laluan pintu masuk masjid sebaiknya bersegeralah memindahkan kenderaan masing-masing sebaik sahaja selesai solat.
Hari ini, sebilangan yang datang lambat, parkir kereta dan motosikal sekadar boleh sehingga menghalang kereta lain untuk keluar. Keadaan itu menyebabkan pergerakan menjadi perlahan, sesak serta ada yang terpaksa menunggu pemilik mengalihkan kenderaan mereka.
Oleh itu, adalah wajar bagi semua jemaah untuk sedar bahawa jika kenderaan mereka ini menghalang kenderaan atau laluan orang ramai, bersegeralah mengalihkan secepat mungkin sebaik sahaja solat yang wajib selesai.
Setiap jemaah mempunyai urusan tersendiri, ada yang terpaksa bergegas kembali ke tempat kerja, menghantar atau mengambil anak sekolah dan sebagainya. Jangan kita sekadar mementingkan diri sendiri.
Jika mahu melakukan ibadat sunat pastikan kenderaan anda diparkir dalam keadaan baik. Pihak masjid juga wajar mengeluarkan nasihat kepada jemaah supaya menjaga sikap dan etika meletak kenderaan.
Beribadat itu ada wajib dan sunat tetapi yang jelas menghalang sehingga menyebabkan kesusahan dan mengganggu pergerakan orang lain itu berdosa.
Satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang berbunyi; “Barang siapa yang memudahkan orang lain, maka Allah akan memudahkan dirinya sendiri, sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah akan menyusahkannya urusannya.”














