fbpx

Kuala Lumpur negeri kedua tertinggi terima pelajar STEM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kah Wong (lapan dari kanan) ketika menyerahkan cek cura BAP peringkat WPKL, di Sekolah St. Mary, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) merupakan negeri kedua tertinggi menerima kemasukan pelajar bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dengan jumlah pencapaian sebanyak 52.55 peratus.

Perlis yang mendahului di tangga pertama pula mencatatkan 63.45 peratus enrolmen pelajar STEM diikuti dengan Perak yang berada di tempat ketiga (52.16 peratus).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya akan meneruskan lagi usaha untuk meningkatkan promosi agar lebih ramai pelajar memasuki jurusan STEM.

Katanya, menjelang 2030, KPM mensasarkan lebih 60 peratus peningkatan para pelajar dalam jurusan STEM berbanding kadar enrolmen sebanyak 45.73 peratus pada tahun lepas.

“Walaupun kita masih belum mendekati 60 peratus, tetapi sekiranya dibandingkan dengan tahun sebelum 2022, lonjakan lima peratus itu jelas menunjukkan usaha sama semua pihak untuk memperkasa jurusan STEM.

“Justeru, untuk mencapai sasaran itu, KPM akan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk setiap Jabatan Pendidikan Negeri.

“Ia membolehkan KPM untuk memantau prestasi enrolmen pelajar-pelajar STEM di semua negeri, setiap tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat WPKL, di sini, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Kah Wong turut menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan lebih RM 30.43 juta kepada 202,899 murid di 289 buah sekolah di negeri ini menerusi Jabatan Pendidikan WPKL.

Bantuan tersebut kemudiannya akan disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu (RM15.34 juta), PPD Sentul (RM7.9 juta) diikuti dengan PPD Keramat (RM7.1 juta).

Dalam pada itu, Kah Wong turut berkata, insiatif peruntukan RM100 juta untuk pemerkasaan STEM yang diumum pada pembentangan Belanjawan 2024 lepas akan diperinci sebelum diagihkan kepada 2,456 sekolah seluruh negara, tahun ini.

Jelasnya, KPM sedang dalam proses menyemak dan mengenal pasti makmal-makmal yang perlu diperbaiki sebelum peruntukan sebanyak RM4,000 bagi setiap sekolah disalurkan.

“Daripada peruntukan RM100 juta itu, sebanyak RM40 juga untuk naik taraf 301 makmal komputer dengan kos RM150,000 bagi setiap makmal.

“Sebanyak RM40 juta pula akan diguna untuk naik taraf 200 buah makmal sains dengan jumlah anggaran sebanyak RM200,000 manakala RM10 juta lagi untuk pembelian peralatan STEM bagi sekolah-sekolah menengah.

“Baki sebanyak RM10 juta akan digunakan dalam program rintis di Perak dan Selangor dikenali sebagai Kluster STEM untuk menarik lebih ramai pelajar menyertai jurusan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI