fbpx

Pasangan tendang motor atas Jambatan P. Pinang ada rekod jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan lelaki dan wanita terbabit diberkas polis di kawasan George Town, hari ini.

SEBERANG PERAI – Polis telah menahan pasangan lelaki dan wanita yang dipercayai bertindak melempar pasir dan menendang pengguna jalan dalam satu kejadian tular di Jambatan Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, penahanan ke atas penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas itu dilakukan di George Town selepas pihaknya terkesan satu klip video menerusi laman sosial Facebook, hari ini.

“Video tersebut memaparkan kejadian penunggang dan pembonceng motosikal yang menunggang dalam keadaan bahaya apabila pembonceng bertindak membaling sesuatu objek disyaki pasir serta cuba menendang pengguna motosikal yang ingin memotong motosikalnya.

“Kejadian berlaku di Jambatan Pulau Pinang dari arah George Town ke Perai dalam Daerah Seberang Perai Tengah.

“Bertindak atas maklumat, polis telah menahan suspek lelaki iaitu penunggang berusia 50-an dan wanita (pembonceng) berumur 30-an yang merupakan pelaku dalam rakam video tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu katanya, hasil semakan rekod jenayah mendapati, kedua-dua suspek mempunyai tiga kes berkaitan jenayah pada tahun 2021 dan 2023 dan tidak dikehendaki.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi tujuan permohonan reman,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan kejadian tular membabitkan pembonceng wanita yang bertindak melempar pasir ke arah muka pengguna jambatan berkenaan.

Video berdurasi satu minit tujuh saat itu telah mendapatkan pelbagai kecaman daripada pengguna media sosial selain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan menahan si pelaku yang terlibat. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI