fbpx

Isteri difitnah ada hubungan sulit, Syamel malas layan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAMEL enggan melayan sebarang provokasi tidak berfaedah yang menuduh isterinya, Ernie mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

PETALING JAYA – Enggan melayan provokasi, penyanyi Syamel menyifatkan penyebar fitnah yang menuduh isterinya, Ernie Zakri mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain tidak layak mendapat perhatian mereka.

Kata pemilik nama sebenar Syameel Aqmal Mohd. Fodzly itu, dia dan Ernie tidak pernah terfikir mahu bersemuka dengan individu terbabit bagi mendapatkan penjelasan mahupun mengambil tindakan undang-undang.

“Sejujurnya saya dan isteri tak nak ambil tahu atau layan orang sebegini sebab merasakan dia tak layak pun dapat sebarang komen mengenai gangguannya terhadap kami.

“Bukan sahaja berjumpa, kami juga tidak nampak keperluan mengajukan perkara tersebut kepada pihak berkuasa kerana dia juga tak layak untuk membuang masa kami.

“Jika dibawa ke muka pengadilan, tentu saja menuntut komitmen tinggi. Jadi bagi saya, dia memang tidak boleh diberikan perhatian sesiapa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Menurut Syamel, dia lebih selesa tidak memanjangkan perkara berkenaan kerana masih bersangka baik bahawa penyebar fitnah terbabit hanya peminat yang terlalu obses.

“Mungkin orang itu terlampau meminati kami dan menganggap kami kepunyaan mereka, cuma harapnya jangan ada yang percaya melulu,” ujarnya.

Kelmarin, Ernie mendedahkan berdepan gangguan daripada seseorang sejak bertunang dengan Syamel empat tahun lalu sehingga selepas mereka bergelar suami isteri.

Kemuncaknya apabila kaki pengendap dalam laman sosial itu mendakwa penyanyi yang juga ibu kepada seorang anak menjalin hubungan sulit dengan seorang pemuzik, Anwar Amzah.

Menyifatkan individu tersebut seperti mempunyai masalah mental, Ernie, 31, menangkis fitnah disebarkan pelaku yang didakwa mencemburui perkahwinannya dengan Syamel.

Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, bergelar isteri Syamel pada 26 Mac 2021 selepas lebih enam bulan mengikat pertunangan dan rumah tangga mereka diserikan seorang puteri, Nur Khawla Soleha, 2. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI