fbpx

Ganjaran RM20,000 jika dapat tangkap suspek Zayn Rayyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Thaiveegan dan Hussein ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini. FOTO: AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Ganjaran RM20,000 ditawarkan kepada mana-mana individu yang membantu sehingga membawa kepada penahanan suspek kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin.

Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, ganjaran itu diberikan bagi membantu kes tersebut yang sudah berlarutan selama lebih dua bulan sejak Disember lalu.

Justeru, pihak meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya kepada polis.

“MCPF Selangor bersedia menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada sesiapa yang boleh membantu memberikan maklumat kepada Polis Selangor untuk menangkap suspek dan  dituduh dengan jayanya.

“Kita berharap sedikit sebanyak akan membantu polis dalam menyelesaikan kes tersebut,” katanya ketika mengumumkan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini hari ini.

Zayn Rayyan, 6, disahkan dibunuh selepas penemuan mayatnya di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari rumah keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya pada 6 Disember lalu.

Ini susulan hasil bedah siasat terhadap kanak-kanak tersebut menemukan kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menjelaskan, polisnya melakukan pemeriksaan ke atas 1,913 unit rumah dengan memeriksa 5,786 individu selain 216 kenderaan.

“Selain itu, kita telah menangkap 17 individu dengan merakam 243 keterangan dan melakukan pengimbasan ke atas 15 rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

“Polis juga telah mengambil 168 barang kes dan 262 sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) serta 42 rumah dilakukan pemeriksaan forensik dengan bantuan lapan anjing pengesan (K9) sebanyak enam kali,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya bagaimanapun belum menemui sebarang petunjuk yang menjurus ke arah tangkapan suspek yang terlibat dalam kes itu.

“Kita belum sesuatu yang kukuh ke arah individu yang terlibat dan itu kesulitan dialami polis. Dalam kata lain, kita tidak jumpa satu keterangan fizikal atau verbal mana-mana individu yang nampak yang boleh menjurus kepada satu individu yang melakukan perbuatan itu.

“Sebenarnya sudah lebih dua bulan berada di tempat itu dan menyiasat di kawasan sekitar lokasi kejadian dan tempat-tempat lain yang difikirkan wajar selain bantuan teknikal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI