SAUDARA PENGARANG
Sampai sekarang kit ujian ketulenan madu nampaknya masih tiada lagi dijual di pasaran mahupun online.
Sebab itu, masih ada penjual yang menjual madu tiruan. Harga serendah RM10 dan paling mahal pun RM30 sebotol bagi berat 200 gram.
Terdapat beberapa petua untuk menguji keaslian madu antaranya meletakkan madu di dalam peti sejuk di ruangan sejuk beku selama sehari.
Jika madu itu didapati membeku selepas tempoh 24 jam, maka ia adalah palsu. Ini adalah disebabkan madu asli yang mempunyai kandungan air yang sedikit tidak akan menjadi beku.
Saya juga menggunakan api untuk memanaskan madu tualang dengan menggunakan sudu besar.
Mengikut petua itu, madu asli akan menghasilkan buih yang besar dan membuak sekiranya terus dipanaskan.
Malangnya, kedua-dua ujian itu menunjukkan madu yang dibeli tersebut seolah-olah asli kerana ia tidak membeku dan menghasilkan buih yang besar.
Ternyata petua ini bukanlah petunjuk yang tepat dalam menguji keaslian madu.
Diharapkan pihak berkuasa atau syarikat swasta segera mengeluarkan kit ujian ketulenan madu seperti kit ujian Covid-19.
KAMAL ALI
Petaling Jaya














