fbpx

Kartel pekerja asing guna RTK perdaya rakan senegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin (empat kanan) dan Musa Hassan (tengah) bergambar menunjukkan lampiran bukti penipuan RTK yang didalangi oleh kartel majikan dan ejen warga asing. -Foto AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menerima lebih 500 aduan daripada pekerja warga asing yang ditipu majikan dan ejen warga asing setelah memberi bayaran mencecah ribuan ringgit bagi memproses dokumen pekerjaan mereka.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kartel pengambilan pekerja asing ini didalangi warga asing sendiri yang menggunakan syarikat tempatan malah memonopoli pembekalan pekerja asing dalam negara tanpa melalui agensi berdaftar.

Katanya, majikan yang terlibat bertindak menggunakan nama isteri tempatan bagi mendaftar syarikat pekerjaan mereka malah menggunakan nama program dilancarkan oleh Jabatan Imigresen (JIM) iaitu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Rekalibrasi Tenaga Kerja RTK 1.0 dan RTK 2.0.

“Pendaftaran RTK 1.0 adalah sebanyak RM500 manakala RTK 2.0 adalah percuma sahaja tetapi mereka (kartel) minta RM3,000 hingga RM4,000 atas alasan pendaftaran, tumpang majikan, Pendaftaran Pemeriksaan Kesihatan (FOMEMA) dan levi.

“Permasalahan berbangkit adalah aktiviti penipuan yang dilakukan oleh ejen-ejen yang mengakibatkan pemohon (warga asing) tidak mendapat PLKS, RTK. Permohonan mereka dipercayai tidak dihantar Imigresen walaupun pembayaran telah dibuat.

“Oleh kerana PLKS pemohon tidak diproses, status pemohon-pemohon ini telah menjadi sebagai tidak sah dan perkara ini mendatangkan kesulitan kepada mereka selain kehilangan wang yang banyak akibat ditipu ejen-ejen dan syarikat tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di Nasken Coffee Sungai Besi, di sini hari ini.

Menurut beliau, baru-baru ini ada satu agensi berkaitan imigran telah melakukan kaji selidik yang menganggarkan 2.5 hingga 3.5 juta warga asing tidak mempunyai permit dan setakat ini, Imigresen tidak mempunyai data tepat berhubung kes ini.

Jelasnya, majoriti mangsa terlibat adalah warga Bangladesh dan Indonesia yang memohon pekerjaan dalam sektor pembinaan, pertanian dan juga pengilangan.

“Mangsa pula takut membuat laporan polis kerana ditanyakan mengenai pasport sedangkan pasport mereka dipegang oleh majikan. Kartel didalangi warga asing dilihat semakin berleluasa sehingga menyebabkan lambakan pekerja asing tidak mempunyai pekerjaan.

“Majikan sebenar (majikan Malaysia) juga terpaksa membuat bayaran kepada untuk keluarkan nama dan mengugut untuk senarai hitam nama pekerja asing terbabit. Ini seperti sindiket pemerdagangan orang menggunakan RTK.

“MHO ingin meminta pertimbangan Imigresen dan Pejabat Kementerian Dalam Negeri supaya diberikan satu alternatif kepada pekerja-pekerja asing yang ditindas dan ditipu untuk tampil ke hadapan membuat laporan berkenaan jenayah penipuan dan pemerdayaan yang dihadapi oleh mereka,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu MHO turut menyediakan khidmat guaman bagi membantu mangsa RTK seterusnya membuat laporan polis di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan menggesa Polis Diraja Malaysia agar menerima laporan daripada mangsa warga asing yang teraniaya dalam kes penipuan majikan ini kerana segala dokumen mereka termasuk passport telah diserahkan kepada majikan.

“Sepatutnya polis siasat siapa majikan mereka kerana melibatkan pemerdagangan manusia. Saya berharap pertimbangan dan kelonggaran dari pihak berkuasa beri satu alternatif atau cara kepada mangsa-mangsa untuk membuat laporan polis,” ulasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI