SELAMA ini, penyanyi juga bekas anggota kumpulan Spice Girl, Victoria Beckham mengakui tidak pernah menggemari sukan bola sepak walaupun telah berkahwin dengan bintang bola sepak terkenal, David Beckham.
Ujar Victoria, selepas berkenalan dengan suaminya pada 1997, dia terpaksa berpura-pura menyukai sukan tersebut dan hadir ke perlawanan membabitkan suaminya sebagai tanda sokongan.
“Semasa kami bercinta, saya tidak suka bola sepak. Saya hanya datang untuk memberi sokongan kepada suami.
“Hakikatnya, saya hanya terpaksa untuk berada di stadium,” ujar Victoria.
Bagaimanapun, setelah hampir 30 tahun bersama, Victoria akhirnya jatuh cinta terhadap sukan berkenaan. Semuanya berlaku selepas Beckham bersara sebagai pemain bola sepak dan menubuhkan kelab Inter Miami.
“Sekarang, saya sangat menyukai bola sepak selepas Inter Miami ditubuhkan. Lebih membuatkan saya teruja apabila kelab tersebut turut membabitkan pemain Lionel Messi. Saya jadi lebih bersemangat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














