MASIH banyak kelemahan perlu diperbaiki dua atlet terjun negara, Kimberly Bong dan Ong Ker Ying selepas gagal melangkah ke final acara 1 meter (m) papan anjal wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.
Kimberly dan Ker Ying masing-masing menamatkan aksi saringan kelmarin di tempat ke-26 serta 31, sekali gus meleburkan hasrat mereka untuk melangkah ke final yang dimenangi penerjun Australia, Alysha Koloi.
Pengarah teknikal skuad terjun kebangsaan, Bryan Nickson Lomas mengakui, persaingan kali ini lebih sengit selepas merekodkan penyertaan atlet paling ramai dalam sejarah penganjuran kejohanan itu.
“Acara 1m papan anjal tidak ada di Sukan Olimpik, namun cabaran tetap sukar kerana Akuatik Dunia (WA) memberitahu penyertaan kali ini mencatat rekod penyertaan paling ramai. Mungkin disebabkan kelayakan Olimpik dan selepas berakhir Covid-19.
“Secara keseluruhan, saya fikir keputusan dicatatkan (Kimberly dan Ker Ying) memang standard atlet-atlet ini. Kalau dibandingkan dengan Kejohanan Dunia Fukuoka 2023, kutipan mata lebih kurang sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Kimberly juga gagal memberikan terjunan terbaik ketika bersama Bertrand Rhodict Lises, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dan Hanis Jaya Surya apabila menduduki tempat ke-11 acara 3m dan 10m berpasukan campuran awal pagi semalam.
“Kimberly mengutip mata lebih tinggi berbanding tahun lepas dan kutipan mata Ker Ying sedikit kurang. Masih banyak aspek yang boleh diperbaiki kedua-dua atlet berkenaan,” jelas Bryan.
Bryan yang juga bekas penerjun negara percaya Kimberly memiliki masa depan cukup cerah dalam acara platform sekiranya kecederaan bahu dialaminya sebelum ini tidak berulang.














