fbpx

Keterangan bercanggah: Dua saksi utama kes rasuah bekas Setpol didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Hisham (kanan) dan Zainudin ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. -Foto oleh FARIZ ROSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Dua saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mohamad Sabu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas memberi keterangan bercanggah semasa perbicaraan kes itu pada tahun lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Ahmad Hisham Mohd. Tajuddin, 54, dan adiknya Zainudin Abdul Majid, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Hisham yang merupakan bekas pengarah sebuah syarikat didakwa atas empat pertuduhan telah memberikan keterangan pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Mohd. Azhar Che Mat Dali di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 Mei dan 9 Jun 2023.

Keterangan itu tidak selaras dengan pernyataan yang diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penolong Kanan Penguasa Shamsudin Md Noh di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, di sini pada 2 November 2022.

Sementara itu, Zainudin didakwa atas lima pertuduhan kesalahan serupa ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan sama pada 21 Mac dan 7 April 2023, yang tidak selaras dengan pernyataan kepada Shamsudin pada 4 November 2022.

Justeru pendakwaan dikemukaka mengikut Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Farah Yasmin Salleh menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri sebulan di pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guam kini tidak bekerja dan menjaga ibu mereka yang lumpuh.

Mahkamah kemudian membenarkan Zainudin dan Ahmad Hisham masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat-syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Tarikh 26 Februari ini untuk sebutan semula kedua-dua kes.

Pada 15 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, daripada tujuh pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM6.48 juta daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di kementerian itu.

Peguam Haijan Omar, mewakili tertuduh, Mohd Azhar Che Mat Dali, 53, ketika dihubungi pemberita berkata Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian pada prosiding perbicaraan kes di peringkat pendakwaan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat.

Terdahulu pada 15 Oktober 2020, Mohd. Azhar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd., Elias Jemadi Tajudin, sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Senggaraan Bagi Peralatan Perisikan Kementerian Pertahanan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru, di sini pada 22 Julai 2019.

Mohd. Azhar juga didakwa atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.35 juta daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd. Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, antaranya di parkir kediaman rasmi Menteri Pertahanan di sini, antara September 2019 dan Februari 2020.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Oktober 2020, Mohd. Azhar mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menerima suapan RM130,000 daripada Elias Jemadi dan Zainudin bagi tujuan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 2019.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI