fbpx

200 orang murid Tabika Kemas terima sumbangan Bernas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, Rozita Ahmad dan Muhammad Norhafriz bergambar bersama penerima peralatan persekolahan sempena Program Ikhlas Back to School yang diadakan kelmarin.

PETALING JAYA – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) telah mengagihkan barangan keperluan persekolahan kepada 28 buah Tabika Kemas di Sungai Besar, dekat sini, kelmarin.

Sumbangan menerusi Program Ikhlas Back to School itu meliputi barangan seperti pakaian seragam bersama kasut dan stoking sekolah, pakaian sukan, beg sekolah serta set alat tulis.

Pengurus Pengurusan Bekalan & Skim Kilang Beras Bernas Sungai Besar, Muhammad Norhafriz Md Yusop berkata, program tersebut melibatkan 200 orang murid yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan yang akan memulakan persekolahan darjah satu bagi sesi Mac 2024/2025.

Jelasnya, pemilihan murid-murid adalah melalui sokongan Pejabat Kemas Daerah Sabak Bernam yang secara tidak langsung turut menjayakan program ini.

“Selaras dengan matlamat kami untuk membantu komuniti pesawah dan setempat di Sungai Besar, kami percaya akan kepentingan memberi kembali dan membentuk hubungan yang lebih erat dengan masyarakat.

“Oleh itu, kami berbesar hati untuk menyumbang peralatan sekolah khusus untuk pelajar kurang berkemampuan yang terpilih untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga mereka,”katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program itu juga diharap menjadi motivasi untuk anak-anak memulakan langkah pertama mereka ke alam persekolahan.

“Melihat kegembiraan mereka (anak-anak) memilih pakaian seragam yang turut dibantu oleh guru pengiring dan sukarelawan Bernas, membuatkan kami lebih bersemangat untuk meneruskan Program Ikhlas Back to School untuk tahun seterusnya,”ujarnya.

Terdahulu katanya, Bernas telah aktif menyumbang melalui Program Ikhlas Back to School kepada murid-murid sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah sejak tahun 2016.

“Program kali ini sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya, di mana ia diadakan di Kompleks Kilang Beras Bernas di Sungai Besar.

“Murid tabika yang terpilih dapat merasai suasana ala karnival yang turut dibantu oleh guru pengiring dan sukarelawan daripada Bernas,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI