fbpx
ARIF AIMAN menganggap kejayaan mengikat Korea Selatan adalah titik pertama kebangkitan Harimau Malaya untuk kembali disegani. - AFP

Harimau Malaya perlukan lebih masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUA penggempur sensasi negara, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim seakan sudah menjawab segala keraguan terhadap kualiti yang dimiliki mereka untuk beraksi di pentas tertinggi.

Biarpun memiliki susuk tubuh yang kecil berbanding rakan sepasukan serta bintang dari negara pesaing, kedua-duanya kini sudah layak berada dalam senarai ‘eksklusif’ pemain negara yang pernah menjaringkan gol di pentas Piala Asia.

Arif Aiman mengakui, keputusan seri dengan Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E adalah titik kebangkitan semula Harimau Malaya untuk kembali ‘mengaum’ seperti pernah dipamerkan suatu ketika dulu.

“Saya tahu ramai kritik pasukan, tetapi itu tidak penting sebab bola sepak Malaysia sedang meningkat naik. Hasil tidak akan dapat dalam masa singkat dan pasukan perlukan masa untuk lawan negara terbaik di Asia.

“Itu paras kemampuan kami, namun kami akan cuba tingkatkan lagi dari semasa ke semasa. Kami tidak akan putus asa, kami juga tahu pelan jurulatih dan pengurusan, jadi ini adalah permulaan bagi kami,” katanya.

Pada penampilan pertama Harimau Malaya di pentas Piala Asia di Qatar, baru-baru ini, anak buah Kim Pan-gon seakan ‘lambat panas’ apabila tewas pada dua perlawanan awal kepada Jordan dan Bahrain sebelum cipta sensasi mengikat juara Asia dua kali, Korea Selatan 3-3.

Selain Arif Aiman dan Faisal, bintang naturalisasi negara, Romel Morales mula memikat hati peminat tempatan apabila menjaringkan gol ketiga negara sekaligus melayakkannya berada dalam senarai penjaring Malaysia di pentas tertinggi Asia.

Untuk rekod, dalam tiga penampilan di Piala Asia sebelum ini, lima pemain berjaya merakam nama selaku penjaring iaitu Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Zulkifli Hamzah, Datuk Abdah Alif, Tukamin Bahari dan Indra Putra Mahayuddin.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN