fbpx

Tiga premis lombong bitcoin diserbu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Tiga premis melombong bitcoin di kawasan Jelapang serta Bercham di sini dibongkar Polis Perak kelmarin dan semalam dengan nilai serbuan dalam operasi berkenaan mencecah RM68,500.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, sindiket tersebut menyasarkan kedai dan rumah persendirian serta mengubah suai sistem pendawaian premis tersebut.

Beliau berkata, serbuan yang dilakukan bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) tersebut mendapati sindiket terlibat telah membuat penyambungan haram ke atas bekalan elektrik ke bangunan yang dijadikan sebagai premis melombong bitcoin tersebut.

Menurut beliau, sambungan haram tersebut menyebabkan pihak TNB mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM45,294.28.

“Dalam serbuan dilakukan di dalam premis tersebut telah berjaya merampas sebanyak 137 unit mesin bitcoin dianggarkan bernilai RM68,500. Siasatan juga mendapati sindiket ini mampu mengaut keuntungan sehingga RM164,400 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

“Pihak polis amat mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika mengesan individu atau premis yang disyaki melakukan kesalahan jenayah.

“Pemilik bangunan yang menyewakan premis tersebut turut disarankan untuk mengambil tahu aktiviti dilakukan oleh penyewa premis agar tidak terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.

Mohd. Yusri berkata, masyarakat boleh mendapatkan bantuan khidmat polis dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang beroperasi 24 jam di talian 05-2542222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI