fbpx

TDM tubuh lembaga siasatan kes tiga anak tentera lemas dalam kolam latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kolam latihan di Kem Temerloh, Pahang. - Foto IHSAN BOMBA

PORT DICKSON – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan sebuah Lembaga Siasatan bagi menyiasat secara terperinci insiden tiga anak tentera di Kem Temerloh, Pahang yang ditemukan mati lemas dalam kolam latihan, semalam.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, lembaga siasatan yang terdiri daripada pegawai akan mengenal pasti punca-punca berlakunya insiden tersebut terutamanya bagaimana kesemua mangsa melepasi pagar yang mengelilingi kolam latihan berkenaan.

Menurutnya, turut dikenal pasti ialah saksi-saksi yang boleh membantu memberi keterangan sama ada punca insiden tersebut adalah dari segi kelemahan pengawalan atau sebaliknya.

“Adakah kelemahan dari segi pengawalan atau pagar perlu diganti baharu lebih tinggi, atau pagar anti panjat… lembaga siasatan ini akan meneliti dari pelbagai sudut,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.

Semalam, bomba melaporkan dua kanak-kanak dan seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas disyaki mandi di kolam latihan kereta kebal sedalam tujuh kaki (kira-kira 2.1 meter) di sebuah kem tentera di Temerloh.

Dalam kejadian tersebut tiga mangsa terkorban ialah Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13, serta Aiman Syafiq Sudirman dan Muhammad Shafiq Aswad Shahril Naim, kedua-duanya berumur 11 tahun.

Muhammad Hafizuddeain ketika ditanya mengenai kawalan di pusat latihan menyatakan kesemua tempat latihan tentera merupakan kawasan larangan serta tidak boleh dicerobohi.

“Kalau lapang sasar kita tak kawal sepenuh masa, tapi kalau ada latihan sebenar, ada tembakan kita akan ambil (kawal) supaya tak berlaku pencerobohan dan sebagainya..di pusat latihan ini juga kita kunci dan berpagar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI