fbpx
PESAKIT kanser wanita kini boleh memiliki zuriat menerusi kaedah OTC. – Gambar hiasan

Teknik baharu bantu pesakit kanser miliki zuriat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBICARA tentang rawatan kesuburan, ia telah berevolusi seiring dengan kemajuan semasa.

Seperti diketahui, Malaysia turut menjadi salah satu destinasi rawatan kesuburan yang terkenal bagi mendapatkan cahaya mata.

Bukan sahaja dalam kalangan pesakit biasa, kini pesakit kanser juga boleh menguna pakai rawatan kesuburan bagi memastikan kesuburan mereka terpelihara semasa mendapat rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Dengan permulaan perkhidmatan Sejuk Beku Tisu Ovari atau Ovarian Tissue Cryopreservation (OTC), pesakit kanser wanita berpeluang untuk mengekalkan kesuburan mereka secara lebih optimum.

Di Malaysia, Pusat Kesuburan Sunfert International Fertility Centre (Sunfert) merupakan tempat kesuburan swasta pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan inovatif itu.

Pengasas dan Pengarah Sunfert Group, Dr. Wong Pak Seng berkata, OTC adalah satu teknik baharu yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesuburan dalam kalangan pesakit kanser wanita.

“Dengan menjaga keupayaan mereka untuk mempunyai zuriat di masa hadapan, wanita dan pesakit muda berpeluang memenuhi impian berkeluarga.

“Di Sunfert, kita boleh membantu menjadikan impian bergelar ibu bapa satu kenyataan, meskipun berhadapan dengan cabaran perubatan iaitu rawatan kanser,” katanya.

Prosedur OTC telah diperkenalkan di Denmark dan Eropah lebih 25 tahun lalu.

Teknik inovatif itu melibatkan pembekuan lapisan kortek iaitu selaput ovari yang mengandungi telur wanita.

Kaedah laparoskopik diguna pakai bagi mengeluarkan ovari dan seterusnya diproses di makmal kesuburan.

OTC melibatkan pembekuan lapisan kortek iaitu selaput ovari yang mengandungi telur wanita.

Antara kelebihan teknik ini adalah tiada ubat-ubatan diperlukan dan tidak menjejaskan rawatan kemoterapi atau radioterapi.

Ini kerana, proses itu hanya dilakukan selama satu atau dua hari sebelum rawatan kanser dijalankan.

Justeru, tiada kesan sampingan atau komplikasi dan rawatan kanser tidak akan tergendala.

Setelah diproses, tisu ovari dibekukan di dalam peranti titanium khusus dan disimpan di dalam tangki pembekuan krio pada suhu 190 darjah Celsius selama 10 hingga 20 tahun.

Apabila pesakit sudah bebas daripada kanser dan bersedia untuk membina keluarga, tisu berkenaan boleh dipindahkan semula ke tubuh untuk diaktifkan bagi tujuan kesuburan.

Dalam pada itu, Pakar Kesuburan Sunfert, Prof. Madya Dr. Mohd. Faizal Ahmad berkata, OTC sangat sesuai untuk kanak-kanak perempuan sebelum akil baligh yang mungkin penghidap kanser memandangkan mereka biasanya kekurangan telur matang untuk pembekuan.

“OTC juga merupakan pilihan baik untuk wanita yang berada dalam tahun reproduktif yang tiba-tiba disahkan menghidap kanser dan perlu memulakan rawatan kemoterapi atau radioterapi.

“Dibandingkan dengan kaedah alternatif seperti pembekuan embrio dan telur, OTC menawarkan prosedur kurang invasif dan masa lebih efisien,” jelasnya.

Tambahnya, prosedur itu membolehkan pesakit kanser wanita mengekalkan kesuburan mereka dan mempunyai harapan untuk memiliki zuriat pada masa hadapan.

Pemeliharaan kesuburan merupakan pertimbangan penting untuk pesakit kanser terutama mereka yang berada dalam kumpulan usia minoriti di bawah 18 tahun. Ini memandangkan kanser boleh memberi kesan negatif terhadap tahap kesuburan mereka, walaupun teknologi rawatan membolehkan kanser dirawat dengan baik.

Dr. Mohd. Faizal menjelaskan, kesedaran awal sememangnya penting kerana kanser dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan kadar kelangsungan hidup sangat baik.

Lebih daripada 70 peratus pesakit kanser berjaya menjalani rawatan kanser primer.

“Namun, kualiti kehidupan khususnya dari segi kesuburan mungkin berkurangan. Justeru, keutamaan dalam mengekalkan kesuburan sememangnya penting bagi memastikan pesakit mempunyai peluang untuk memiliki zuriat dan mengekalkan kualiti kehidupan lebih baik,” ulasnya.

Ujarnya, setiap tahun, sebilangan besar wanita yang berada dalam umur reproduktif disahkan menghidap kanser. Bagaimanapun, kanser itu menunjukkan prognosis yang sangat baik kerana kemajuan dalam pengesanan awal dan keberkesanan rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Ini bermakna lebih ramai wanita boleh mendapatkan intervensi perubatan tepat pada masanya, sekali gus meningkatkan peluang rawatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN