BESUT – Penduduk di Kampung Pachakan, Kuala Besut di sini makin dihimpit kebimbangan ekoran hakisan pantai yang mula ‘merebak’ ke perkampungan mereka sejak kebelakangan ini.
Lebih mengejutkan apabila sebahagian jalan raya berhampiran pesisir Pantai Pachakan juga telah runtuh dibadai ombak besar pada bulan lalu.
Seorang penduduk, Azizah Husin, 49, berkata, jarak pesisir pantai dengan kampung yang dahulunya hampir 100 meter kini hanya tinggal kurang 30 meter.
“Sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) sejak Oktober lalu, kami memang sukar untuk tidur dengan lena.
“Hampir setiap malam kami perlu berhadapan dengan angin kencang dan ombak besar yang seolah-olah menghempas rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Pachakan, Kuala Besut di sini semalam.
Azizah berkata, air laut juga akan melimpah masuk ke rumah mereka setiap kali fenomena air pasang besar berlaku pada musim tengkujuh.
Seorang lagi penduduk, Syakirah Ramli, 28, berkata, jalan raya yang merupakan antara laluan masuk ke perkampungan mereka sudah tidak boleh digunakan akibat rosak.
Tambahnya, fenomena air pasang besar turut membawa timbunan sampah dari tengah laut.
“Longgokan sampah yang dibawa ombak dari tengah laut bukan sahaja mencemarkan pemandangan, malah dikhuatiri boleh mencetuskan penyakit bawaan air sekiranya dibiarkan.
“Atas sebab itu kami terpaksa membersihkannya hampir setiap hari sejak permulaan musim tengkujuh ini pada bulan Oktober tahun lalu,” katanya.
Syakirah percaya, masalah hakisan tersebut akan berterusan selagi projek pemecah ombak yang dalam proses pembinaan tidak siap sepenuhnya.














