fbpx
Hanim mencipta kejayaan menerusi perniagaan makanan bijirin coklat berjenama terkenal dan disukai ramai, Nims Crispy Choco Tub.

‘Resipi rahsia’ Hanim cipta kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“PENGHUJUNG tahun 2014 menjadi momen paling memberi kesan kepada perniagaan kami.

“Ketika itu, di Kelantan, berlaku banjir besar dan semua bahan mentah yang baru dibeli tenggelam dan jumlah kerugian mencecah RM30,000.”

Itu kejadian yang tidak dapat dilupakan wanita berhati kental ini saat terkenang momen pahit yang berlaku ke atas perniagaannya sedekad lalu.

Tengku Norhanim Tengku Othman berkata, kala itu, dia dan suami baru memulakan perniagaan makanan ringan berasaskan bijirin dan coklat Crispy Choco Jar dari rumah sewa mereka.

Namun, siapa sangka, selepas 10 tahun, perniagaan makanan tersebut masih mampu bertahan dalam pasaran dan dianggap sebagai antara pelopor makanan bijirin coklat pertama dalam bekas tub (tab).

Bahkan, perniagaannya mencapai kejayaan sehingga meraih pelbagai anugerah termasuk bisnes cemerlang bagi pengeluaran snek manisan Bumiputera Business Excellence Awards 2022 dan Nona Best Crispy Choco Tub Award Nona Superwoman Award 2022.

Berkesempatan menemu bual Tengku Hanim baru-baru ini, pelbagai kisah suka duka dikongsi pengasas perniagaan yang kini dijenamakan semula dengan nama Nims Crispy Choco Tub itu kepada Aura.

Ditanya bagaimana dia mendapat idea untuk memilih bijirin coklat untuk diniagakan, Tengku Norhanim yang lebih dikenali sebagai Hanim memberitahu, ia bertitik tolak daripada suaminya, Faiz Hussamuddin.

“Kalau ikutkan cerita, suami sebelum ini pernah membelikan saya dua balang bijirin coklat kerana dia tahu saya memang suka makan dan ‘hantu’ coklat.

“Jadi, satu balang saya makan dan satu balang lagi saya letak di Facebook untuk cuba-cuba jual.

“Tidak sangka, sekadar suka-suka memuat naik hantaran, ada permintaan daripada rakan-rakan di Facebook untuk membeli,” katanya.

Ceritanya lagi, sejak dari situ dia mula mendaftarkan diri menjadi ejen produk coklat berkenaan bermodalkan RM300.

“Ketika itu saya yang sudah berkahwin masih belajar di universiti. Sambil menuntut, saya bekerja separuh masa menjual pelbagai produk orang lain secara online.

“Jadi, saya rasa makanan bijirin coklat yang suami belikan itu mampu pergi jauh. Saya pun keluarkan sedikit wang simpanan sebagai modal mendaftar ejen,” kata Hanim lagi.

Jelasnya, beberapa kali mengambil stok dan permintaan kian memberangsangkan, entah bagaimana stok daripada pengeluar terhenti dan tidak dapat dihantar lagi.

Katanya, bermula insiden tersebut, dia dan suami selain seorang sepupunya duduk bersama dan hadir dengan buah fikiran untuk menghasilkan bijirin coklat dalam balang kaca sendiri pada 2014.

Hanim bersama anugerah The Brandlaureate (Bumiputera Best Brand Award 2022) yang diraihnya.

“Jadi, menggunakan modal dan sedikit ilmu yang ada, saya dan suami keluarkan produk bijirin coklat sendiri dengan jenama pertama kami, Crispy Choco Jar.

“Ketika itu segala operasi dan proses menghasilkan bijirin coklat dibuat sepenuhnya kami berdua dari rumah sewa sahaja.

“Alhamdulillah permintaan semakin mendapat sambutan dan orang mula kenal dan hargai resipi adunan rahsia kami berdua ketika itu.

“Cuma sayangnya, jika di rumah kami hanya mampu hasilkan 100,000 balang saja kerana ruang dan kapasiti penghasilan yang begitu terhad,” ujarnya yang ketika itu turut dibantu seorang pembantu rumah.

Akui ibu dua cahaya mata itu lagi, apabila ruang dan tenaga manusia terhad tetapi permintaan melonjak tinggi, dia dan suami menyewa dua rumah lagi untuk melebarluaskan ruang operasi dan pembungkusan produk.

“Bermakna kami gunakan tiga buah rumah kesemuanya bagi menampung kerja-kerja operasi pengeluaran produk.

“Selepas itu, barulah kami berdua berani untuk sewa kedai sendiri. Bermula dari sebuah kedai menjadi dua kedai pada tahun 2018,” katanya.

Selepas ada kedai sendiri, ujar Hanim, pengeluaran juga meningkat sebanyak 500,000 balang sebulan.

Pun begitu, lumrah manusia tidak lari daripada alpa dan kesilapan. Kongsinya, ketika perniagaannya berada di kemuncak, Allah menguji mereka dengan pelbagai ujian daripada kegagalan sendiri.

“Ketika Crispy Choco Jar sudah dikenali di Malaysia dan ada sahaja permintaan tanpa henti ketika itu, kami mula perlahankan pemasaran dan kurang mempromosi produk.

“Silap kami ketika itu kerana merasakan jenama kami sudah cukup gah dan terkenal. Bayangkan kami diuji sekali lagi pada 2018.

“Ketika itu dek kerana kelalaian kami yang merasakan sudah ‘selesa’, sebenarnya silap besar dan menjerut diri kami sendiri.

“Bayangkan beberapa bulan kami langsung tidak ada order (pesanan). Ketika itu juga timbul masalah kerana kami selama ini gunakan balang kaca.

“Bila sampai kepada pelanggan, balang kaca pecah dan pelanggan tidak dapat nikmati bijirin coklat,” ujarnya.

Ketika itu muncul bermacam dugaan satu per satu sehingga hampir putus asa, namun pantas diatasi.

“Kadang orang ingat kita berniaga tak jatuh-jatuh. Tapi sebenarnya yang jatuh itulah tanda Allah SWT nak bagi lebih lagi.

“Bayangkan dengan baki dalam akaun bank hanya tinggal RM3,000, ia langsung tidak mencukupi untuk menampung bisnes, membayar gaji pekerja dan komitmen yang ada.

“Kami bangkit semula pada musim pandemik dengan team seramai 20,000 orang. Namun sebaik saja perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir pada tahun 2022, kami struggle untuk pertahankan bisnes dan baki team yang tinggal hanyalah 3,000 orang,” tuturnya.

Kata Hanim lagi, dari situ jugalah pasukan mereka nekad untuk menukar balang kaca kepada balang tab plastik yang dilihat jauh lebih berkualiti dan terjamin dari segi mutu.

Berkongsi sedikit perancangan, pihak syarikat tahun ini menyasarkan untuk menambah pengedar kepada lebih 30,000 orang dan memperkuat lagi pemasaran dan pengedaran bukan sahaja dalam tetapi luar negara.

Nims Choco Tub yang dijenamakan semula pada Ogos 2019 berikutan penukaran daripada jar (balang kaca) ke bekas tub turut telah mengembangkan sayap perniagaannya ke negara lain seperti Indonesia, Thailand, Kemboja, Singapura, Brunei dan Vietnam.

Ia seiring dengan kilang sendiri miliknya yang menerima pengikitirafan amalan perkilangan baik (GMP) dan Standard Audit Titik Kawalan Kritikal dan Analisis Bahaya (HACCP) serta diperakui halal.

Syarikatnya turut akan meneruskan program kebajikan tahunan menerusi Nimscare4u dan menggalakkan lebih ramai pelajar melibatkan diri dalam keusahawanan menerusi program Nims Studentpreneur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN