fbpx

Peguam disyaki ‘songlap’ lebih RM300,000 duit jual beli rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keterujaan seorang ahli perniagaan mahu mendapatkan wang hasil penjualan rumahnya berjumlah RM333,323 terbantut apabila disonglap oleh peguam dilantik bagi urusan itu.

Rentetan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa berusia 60 tahun pada 19 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan awal mendapati suspek dan ejen hartanah menguruskan penjualan rumah milik pengadu sekitar Ogos tahun lalu.

Katanya, tiada menerima sebarang hasil penjualan itu, mangsa pergi ke firma guaman itu pada Januari lalu.

“Mangsa kemudian dimaklumkan oleh kakitangan syarikat itu bahawa wang pengadu digunakan oleh pemilik firma untuk tujuan lain.

“Pada hari sama, pengadu diberikan sekeping cek bernilai RM333,323. Namun cek itu gagal ditunaikan kerana pembayarannya dihentikan oleh pemilik akaun iaitu firma guaman terbabit atas sebab tidak diketahui,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Jelas beliau, semakan dilakukan dengan pejabat tanah mendapati rumah milik pengadu sudah dipindah milik kepada pemilik baharu dan pihak polis menyiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berasingan, Ramli menjelaskan sebanyak 88 kes dilaporkan berkaitan pecah amanah jenayah dilakukan oleh peguam membabitkan kerugian berjumlah RM88.3 juta bagi tempoh 2021 hingga 2023.

“Bagi tempoh 1 hingga 24 Januari lalu, terdapat lapan kes dicatatkan dengan kerugian RM7.4 juta membabitkan kes pecah amanah jenayah oleh peguam.

“Meskipun peratusan kes dicatatkan hanya 0.4 peratus berbanding jumlah keseluruhan 21,570 peguam berdaftar dengan Majlis Peguam Malaysia pada 2023, purata kerugian dicatatkan amat membimbangkan iaitu mencecah hampir RM1 juta bagi satu kes.

“Angka ini memberi gambaran bahawa kes pecah amanah jenayah oleh peguam tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Justeru, beliau menggesa pembabitan Majlis Peguam Malaysia untuk meneliti dan menambah baik prosedur serta hukuman dilaksanakan dalam menangani isu salah laku oleh peguam.

“Pihak PDRM juga mencadangkan supaya prosedur pengurusan akaun pelanggan oleh firma guaman diteliti semula dengan memasukkan peranan anak guam bagi sebarang urusan transaksi akaun itu.

“Jika ini dapat dilaksanakan, ia akan menjadi satu mekanisme efektif bagi mencegah berlakunya kes pecah amanah jenayah oleh peguam sekali gus mengelakkan pengubahan wang haram,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI