fbpx

NGO konon bantu perjuang kes penipuan rupanya kutip caj perkhidmatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli pada sidang akhbar di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengaut untung kononnya mewakili mangsa penipuan menuntut wang yang ditipu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, terdapat NGO yang memanipulasi mangsa dengan menawarkan perkhidmatan berbayar untuk mewakili menyuarakan kes penipuan.

“Mutakhir ini, banyak NGO dilihat menunjukkan minat dalam aktiviti pencegahan jenayah komersil. Usaha yang dilakukan dalam menyebarkan informasi serta mesej pencegahan jenayah komersil adalah amat dialu-alukan dan dihargai.

“Walau bagaimanapun, situasi jenayah komersil ini turut dimanipulasi oleh segelintir NGO yang mengenakan caj bagi perkhidmatan yang ditawarkan walaupun tiada sebarang jaminan diberikan untuk mangsa memperoleh semula wang mereka yang telah ditipu,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.

Justeru itu, Ramli menegaskan, sebarang tawaran perkhidmatan yang berbentuk ‘debt collector’ oleh pihak NGO perlu dinilai dan difikirkan dengan sebaik mungkin kerana tidak dilindungi di bawah undang-undang.

“Dikhuatiri, caj perkhidmatan yang dibayar hanya akan mengakibatkan mangsa mengalami kerugian tambahan di samping kerugian yang telah dialami,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata, JSJK telah membuka sebanyak 1,918 kertas siasatan melibatkan nilai kerugian RM92 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Januari 2024.

“Berlaku peningkatan 42.7 perarus berbanding tempoh sama tahun 2023 (1,344 kes).

“Kes-kes penipuan dalam talian terus mencatatkan jumlah tertinggi daripada jumlah keseluruhan kes yang disiasat sebanyak 1,654 atau 86.2 peratus,” katanya.

Bagi tempoh yang sama juga, beliau memaklumkan nilai kerugian direkodkan adalah sebanyak RM72 juta.

“Berlaku peningkatan 81 peratus berbanding nilai kerugian yang direkodkan bagi tempoh sama tahun 2023 iaitu sebanyak RM39 juta,” katanya.

Tegasnya, trend peningkatan kes dan nilai kerugian yang direkodkan membimbangkan dan diharap kesemua lapisan masyarakat untuk sama-sama bertindak dan mengambil bahagian dalam usaha pencegahan jenayah komersial. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI