fbpx

MYNIC bantu persiapan raya 50 keluarga asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hampir 50 asnaf dari Kawasan Damansara dirai oleh MYNIC sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

PETALING JAYA – Seramai hampir 50 asnaf daripada Bukit Lanjan, Bandar Utama, dan Kampung Tunku mendapat manfaat daripada program #IkhlasMYNIC Sinari Ramadan, Raikan Syawal anjuran MYNIC Berhad (MYNIC).

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan berkata, MYNIC memperuntukkan lebih RM50,000 bagi meraikan keluarga asnaf di kawasan Damansara untuk menyambut lebaran.

Asnaf yang terlibat dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu diberi peluang merasai keseronokan membuat persediaan menyambut Syawal tidak lama lagi.

“Insya-Allah umat Islam seluruh dunia bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Sehubungan itu, MYNIC memperuntukkan lebih RM50,000 bagi membeli barang keperluan hari raya seperti baju, kasut dan sebagainya di One Utama, Bandar Utama.

“Setelah selesai membeli-belah, mereka seterusnya dibawa ke The Royale Chulan Damansara untuk majlis iftar selain terdapat pengisian rohani sempena minggu terakhir Ramadan,” katanya.

Program #IkhlasMYNIC itu turut disertai oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Sementara itu, Hasnul Fadhly berkata, program CSR MYNIC yang telah mula dianjurkan sejak tahun 2019 merupakan salah satu inisiatif syarikat bagi berkongsi kegembiraan serta menceriakan golongan kurang berkemampuan seperti anak-anak yatim, ibu tunggal dan asnaf.

“MYNIC juga turut membantu usahawan dalam membina premis digital untuk memperkasa dan meluaskan jaringan capaian perniagaan mereka sehingga ke peringkat global.

“Selain itu, pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh MYNIC, antaranya ialah Webinar Cerita.MY Saya yang berjaya membantu lebih 60,000 jumlah peserta sejak mula diperkenalkan pada tahun 2021 sehingga 2023, dengan capaian lebih 1.2 juta jumlah ‘reach’ di FB Live dan YouTube,” ujarnya.

Katanya Cerita .MY Saya merupakan sebuah inisiatif MYNIC untuk mengetengahkan usahawan-usahawan yang menggunakan nama domain .MY sebagai identiti penjenamaan perniagaan mereka.

“Ini juga merupakan tanggungjawab sosial kami sebagai sebuah agensi yang berperanan selaku pemboleh upaya digital sekaligus mencapai visi Kerajaan dalam memacu ekonomi digital negara serta membantu untuk mentransformasi Malaysia
sebagai negara digital,” tambahnya.

Dalam pada itu, Gobind pula berkata, pihaknya berbesar hati apabila MYNIC menganjurkan program CSR tersebut dan memilih kawasan Damansara sebagai lokasi pilihan mereka.

“Ini kerana, kawasan ini juga mempunyai keluarga yang tidak berkemampuan untuk melakukan persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal
menjelang tidak lama lagi.

“Melalui sumbangan ini, sedikit sebanyak mampu mengurangkan bebanan keluarga asnaf yang terlibat dan secara tidak langsung menunjukkan bahawa badan korporat serta agensi Kerajaan sentiasa prihatin dengan kesusahan yang dialami rakyat”, katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI