fbpx
KAWASAN sekitar Kuala Lumpur menjadi tumpuan warga asing pelbagai negara untuk mencari rezeki.

500,000 warga asing kuasai 30 ‘lubuk’ di Lembah Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dianggarkan kira-kira 30 kawasan di Lembah Klang khususnya di Kuala Lumpur menjadi lubuk warga asing untuk tinggal dan menjalankan­ pelbagai­ jenis perniagaan.

Kebanyakan warga asing ini yang melebihi setengah juta orang menguasai kawasan-kawasan utama termasuk di Setapak, Batu Caves, Cheras, Maluri, Sri Petaling, Selayang, Sentul dan Kepong.

Selain itu, ada juga warga asing yang menjadikan kawasan tumpuan di tengah-tengah ibu negara seperti Jalan Silang, Pasar Pudu, Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Bukit Bintang sebagai penempatan mereka.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat, Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari berkata, kawasan-kawasan terbabit kini dihuni oleh warga China, Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan, India dan Indonesia.

Sebagai contoh katanya, Jalan Silang, Jalan Petaling, Central Market dan sekitar Lebuh Pudu di Kuala Lumpur menjadi lokasi utama warga asing dari Bangladesh untuk tinggal dan berniaga.

“Mereka ini bukan sahaja menjadikan kawasan itu tempat berkumpul, tetapi banyak premis perniagaan juga turut ‘dikuasai’.

Bila kita buat pemantauan setiap empat atau lima deretan kedai, pasti ada premis yang dimiliki oleh warga Bangladesh.

“Mereka berani menyewa premis daripada rakyat tempatan yang telah ‘mengalibabakan’ lesen kepada warga asing. Selain itu, mereka ini didakwa dilin­dungi oleh pihak-pihak tertentu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambah beliau, bagi kawasan sekitar Bukit Bintang, Kepong, Bandar Baru Sentul, Maluri, Cheras, Sri Petaling dan Bangsar, kebanyakan lokasi berkenaan dikuasai oleh warga asing dari negara China.

Katanya, ada antara warga asing­ ini turut menjadikan kawasan kediaman mewah seperti kondominium untuk menjalankan aktiviti scammer, judi dalam talian serta pelacuran.

“Kita pernah beberapa kali membuat aduan di kawasan-kawasan ini dan pihak berkuasa juga telah membuat serbuan. Tetapi mereka hanya ‘senyap’ sekejap dan kemudian aktif semula.

“Semasa kita membuat pemantaun ke kawasan ini, keba­nyakan mereka memang tidak fasih berbahasa Melayu dan dari situ kita syak bahawa mereka adalah warga China dari tanah besar,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Nor Izzat berkata, warga asing dari India pula ramai dikesan di sekitar Brickfields, Bangsar serta Batu Caves dan aktiviti ekonomi mereka adalah bekerja di restoran dan kedai gunting rambut.

“Bagi warga Indonesia pula, mereka akan menguasai kedai-kedai runcit di sekitar Gombak dan Lembah Pantai, Kerinchi dan beberapa lagi kawasan pinggiran ibu kota. Biasanya kalau banyak kedai Acheh, di situ akan ada ramai warga Indonesia.

“Warga Pakistan pula ramai dikesan di sekitar Selayang, Chow Kit dan Masjid India. Aktiviti utama mereka adalah berniaga sama ada kedai menjual pakaian, kedai runcit dan kedai perabot.

“Selain itu, kita turut mengesan kehadiran warga Afrika atau ‘orang kulit hitam’ di sekitar Mid Valley dan kawasan sekitar Abdullah Hukum. Jika sebelum ini, ramai antara mereka menghuni kawasan sekitar Cyberjaya,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi pela­rian Rohingya pula, mereka dikesan telah menguasai Selayang sehingga banyak kawasan perniagaan dan lot-lot kedai telah dijadikan sebagai ‘bandar Ro­hingya’.

“Jumlah mereka di Selayang tidak kurang daripada 50,000 orang. Ibarat orang kata, baling batu mesti kena kepala Rohingya. Sedikit masa lagi jika tidak dibendung saya yakin Selayang akan menjadi ‘hak’ mereka,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN