fbpx

BNM dijangka kekalkan OPR esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bank Negara Malaysia

PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka bakal mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus susulan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang berlangsung selama dua hari pada hari ini dan esok.

Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, buat masa sekarang mungkin tiada sebarang keperluan mendesak buat BNM untuk bertindak menaikkan atau menurunkan OPR.

“Untuk menaikkan saya kira tiada keperluan memandangkan kadar inflasi sudah turun kepada 1.5 peratus pada Disember lalu untuk meletakkan kadar inflasi bagi keseluruhan tahun 2023 pada 2.5 peratus, lebih rendah berbanding 3.3 peratus pada 2022.

“Hal ini jelas memperlihatkan langkah mengetatkan dasar monetari oleh BNM telah berjaya menghasilkan kesan positif terhadap inflasi.

Mohd. Afzanizam

“Langkah menurunkan OPR pun saya rasa belum ada keperluan kerana kedudukan ekonomi kini stabil dengan anggaran pertumbuhan ekonomi negara 3.4 peratus pada suku tahun keempat 2023, kadar pengangguran pula menurun dan ekonomi kini berjalan seperti biasa,” katanya sewaktu dihubungi.

Pada masa sama, Mohd. Afzanizam berkata, antara perkara menarik yang boleh diperhatikan pada Pernyataan Dasar Monetari yang dijadualkan diterbitkan pada pukul tiga petang esok ialah penilaian terkini BNM mengenai kedudukan negara dalam ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.

“Ini termasuk situasi di Laut Merah, melibatkan konflik ketenteraan antara Houthi dan sekutu Amerika Syarikat, yang mana kawasan berkenaan sangat penting bagi perdagangan antarabangsa melalui jalan laut.

“Lebih-lebih lagi lebih 50 peratus import dan eksport Malaysia adalah melalui jalan laut dan sebarang bentuk gangguan akan memberi kesan kepada kita. Satu lagi ialah penilaian BNM tentang situasi ekonomi China yang perlahan,” ujarnya.

Menurut beliau, BNM dijangka akan mengambil lebih masa untuk memantau perkembangan global sebelum membuat keputusan sama ada untuk menurunkan kadar faedah bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Selain hari ini dan esok, MPC BNM dijadualkan untuk bermesyuarat sebanyak lima kali lagi tahun ini. Saya menjangkakan bakal ada penurunan OPR tahun ini namun ia mungkin hanya berlaku pada separuh tahun kedua 2024,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI