Jumaat lalu, Lembaga Tabung Haji mengumumkan kos untuk jemaah muassasah pada tahun ini meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada 2023.
Peningkatan itu sudah dijangka memandangkan kos untuk membawa jemaah haji ke Tanah Suci tidak dapat dikawal kerana bergantung kepada keadaan global dan kenaikan pelbagai perkara termasuk penginapan, makanan, masa, pengangkutan dan operasi.
Bakal jemaah haji yang mendapat tawaran muassasah sudah tentu terjamin tetapi apa yang merisaukan kita pada saban tahun ialah penipuan segelintir agensi pelancongan ketika mengendalikan jemaah secara pakej.
Walaupun berjaya menerbangkan duyufurrahman ke Mekah dan Madinah, kadangkala terselit juga helah halus yang jemaah sendiri terkeliru sama ada ia berbentuk ujian atau penipuan di Tanah Suci.
Menunaikan haji bukan sahaja memerlukan ilmu melaksanakan ibadat terbesar tersebut tetapi ia juga mendambakan pengetahuan dan kesedaran dalam mengesan cubaan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan.
Bijak membezakan mana ujian dan yang mana penipuan merupakan satu kemestian yang perlu ada pada setiap jemaah pakej.
Jemaah yang mempunyai sikap ‘tidak mengapa’, ‘biarlah dia jawab di akhirat’ atau ‘anggaplah ini takdir’ hanya akan membuatkan pihak berkenaan semakin naik tocang.
Laporlah kepada Lembaga Tabung Haji kerana mereka amat tegas dalam hal sebegini dan tidak akan berkompromi jika ada aduan yang dibuat berkaitan dengan penipuan di Tanah Suci.
Kita tahu agensi pelancongan amat takut jika dikenakan tindakan kerana lesen boleh digantung dan bukannya mudah untuk mendapatkannya semula.
Paling kritikal ialah apabila berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina kerana di situ kita akan dapat melihat kemungkinan tawaran yang digembar-gemburkan tidak sama dengan apa yang berlaku.
Harapnya kali ini janganlah ada lagi insiden di mana ada bakal jemaah haji hanya ‘tawaf’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sahaja kerana ditipu ekoran terpengaruh dengan tawaran visa furada.
Amatlah malang sekiranya niat yang baik untuk melakukan ibadat tetapi akhirnya dikalahkan dengan sikap acuh tak acuh kita terhadap taktik licik yang diulang-ulang setiap tahun.
Apapun, ia berbalik kepada soal kemampuan baik daripada segi kewangan, fizikal dan mental yang sudah pasti diuji dengan kritikal sepanjang lebih 40 hari kita berada di Tanah Suci.
Mohonlah ampun dan maafkan kesalahan orang sebelum berangkat untuk melapangkan dada supaya segala urusan kita dipermudahkan.
Pernah terjadi di mana jemaah kelihatan sihat ketika berada di sini tetapi sebaliknya pula berlaku sepanjang berada di Tanah Suci hingga terpaksa menghabiskan masa di atas katil hospital.
Tahniah diucapkan kepada mereka yang mendapat tawaran dan jangan lupa menghadiri kursus haji kerana ia akan mengajar kita supaya bersabar dengan setiap dugaan kerana gelaran haji dan hajah itu terlalu istimewa bagi mereka yang mengerti.















