fbpx

Dua pengarah Emraz Travel sakit, tak hadir 51 pertuduhan tipu pakej umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sophian (tengah) dan Suhana (kiri) ketika ditemui pemberita selepas penangguhan prosiding pendakwaan kedua-dua OKS di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini

KOTA BHARU – Prosiding pendakwaan dua pengarah Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. (Emraz Travel) yang sepatutnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 51 pertuduhan kes penipuan pakej umrah melibatkan kerugian RM503,221 ditangguh ke 13 Februari depan.

Keputusan itu diputuskan oleh Majistret Ahmad Shafiq Aizat Nazri selepas kedua-dua Orang Kena Saman (OKS), Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan isterinya, Datin Mazuin Mustafa, 43, tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Peguam pasangan OKS itu, Ahmad Nizam Mohamed memaklumkan kepada mahkamah, kedua-dua anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sakit.

Menurutnya, Zulkarnain dan Mazuin mempunyai sijil sakit yang sah untuk mereka tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diketuai Mohd. Sophian Zakaria, Suhana Mohd. dan Shafiq Mahadi memohon satu tarikh baharu untuk mendakwa kedua-dua OKS.

Menurut Mohd. Sophian, pihak pendakwaan hanya dimaklumkan mengenai kegagalan kedua-dua OKS yang sakit ke mahkamah pada pagi ini.

“Kedua-dua OKS sepatutnya berdepan 51 pertuduhan penipuan membabitkan ratusan ribu ringgit hari ini. Mereka juga sudah didakwa 63 pertuduhan atas kesalahan sama di Mahkamah Majistret Putrajaya pada minggu lalu.

“Kes ini melibatkan kepentingan awam dan mangsa yang ramai. Jadi, pihak pendakwaaan memohon satu tarikh baharu dalam tempoh yang singkat untuk mendakwa kedua-dua OKS,”katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Februari depan sebagai tarikh baharu untuk pendakwaan kesemua pertuduhan yang akan dijalankan secara serentak.

Terdahulu, sebuah syarikat pengendali pakej umrah bersama dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 15 Januari lalu atas 63 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar balik tuntutan wang berjumlah RM589,031 kepada 21 mangsa, tahun lalu.

Zulkarnain dan Mazuin bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-63, syarikat itu, Zulkarnain dan Mazuin sebagai OKS pertama hingga ketiga didapati masing-masing atas 21 pertuduhan gagal mematuhi award TTPM yang memerintahkan supaya membayar RM589,031 kepada 21 individu yang merupakan pihak yang menuntut.

Kesalahan dilakukan di Pejabat TTPM di Aras 5, Podium 2, No. 13, Persiaran Perdana Presint 2, di sini antara 8 Jun hingga 25 Ogos 2023.

Bagi semua kesalahan itu, kedua-dua OKS dan syarikatnya didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah Seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Pada 23 November tahun lalu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati syarikat itu menggunakan duit jemaah kumpulan kedua dan ketiga bagi menampung kos jemaah umrah kumpulan pertama.

Tindakan itu dipercayai antara punca berlakunya kegagalan beberapa jemaah yang menggunakan khidmat syarikat itu untuk ke tanah suci sehingga membawa beberapa siri laporan polis dalam kalangan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI