fbpx

[VIDEO] ‘Mini Dhaka’ Semenyih digempur, 80 peratus warga asing penuhi pangsapuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma dekat Beranang, di sini semalam. Foto oleh FARIZ RUSADIO

SEMENYIH – Seramai 561 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) blok Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma dekat Beranang, di sini, malam semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Selangor, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula pukul 12 tengah malam itu dilaksanakan ekoran aduan penduduk yang bimbang dengan kebanjiran warga asing sehingga menggelarkannya sebagai ‘Mini Dhaka’.

Menurutnya, operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan kekuatan lebih 500 anggota itu membuat pemeriksaan di tujuh daripada 26 blok pangsapuri itu.

“Bertindak atas risikan, JIM berjaya menahan seramai 561 warga asing berusia antara tiga bulan sehingga 55 tahun terdiri daripada 447 lelaki dan 87 wanita termasuk 15 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 43 warga Indonesia ditahan, Bangladesh (205), Myanmar (200), Nepal, (65), India (2), Pakistan (38 orang), Kemboja (1), Sri Lanka (2), Sierra Leon (2) dan seorang dari Cameroon.

“Kesemua tahanan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih bagi membuat semakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.

Kata Ruslin, ketika operasi dijalankan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri, namun berjaya dipatahkan anggota yang membuat kepungan di kawasan terbabit.

“Maklumat diperoleh mendapati hampir 80 peratus warga asing menghuni pangsapuri ini secara beramai-ramai antara tujuh hingga 10 orang.

“Kebanyakan warga asing menyewa kediaman tersebut dengan kadar yang rendah bermula daripada RM600 hingga RM800,” jelasnya.

Tambahnya, lokasi terbabit merupakan antara 220 lokasi panas di seluruh negara yang mana Selangor mencatatkan jumlah tertinggi.

Sementara itu, Ruslin berkata, setakat 1 Januari sehingga kini, sebanyak 870 operasi dilaksanakan di seluruh negara membabitkan sejumlah 9,169 warga asing diperiksa.

“Daripada jumlah itu, 4,026 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta 42 majikan ditahan dan diambil tindakan lanjut.

“Selain itu, sebanyak 38,978 PATI telah diusir pada tahun lalu manakala tahun ini melibatkan seramai 1,467 PATI,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI