fbpx
GAMBAR fail 11 Januari lalu menunjukkan penduduk Taman Sri Bayu, Bayan Lepas, beratur panjang menunggu giliran untuk menadah air dari lori tangki.

Tambah baik kualiti perkhidmatan seiring tarif air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) berharap Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) lebih proaktif memantau semua operator air di seluruh negara dalam memastikan kerja-kerja menambah baik kualiti bekalan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif bermula 1 Februari ini.

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pemantauan itu penting untuk menjamin usa­ha penambahbaikan dilakukan secara teratur, cekap dan berkesan demi kepentingan pengguna.

“Seiring dengan kenaikan tarif air ini, pengguna pasti berharap kualiti perkhidmatan bekalan air dapat dipertingkatkan.

“Lebih-lebih lagi kepada pengguna yang bertahun-tahun lamanya menghadapi masalah bekalan air atau air keruh, mereka mahu isu itu selesai dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, pengguna akan berasa kecewa sekiranya tiada penambahbaikan dilakukan, sedangkan mereka perlu membayar bil pada harga lebih tinggi.

“Jika kualiti perkhidmatan (air) terus merosot, pengguna semestinya akan rasa marah dan kecewa, jadi saya harap percepatkan projek naik taraf air di seluruh negara.

“Kasihan kepada pengguna yang sekian lama menderita masalah gangguan bekalan air di lokasi tertentu termasuk di Kedah ini,” ujarnya.

Beliau turut menggesa semua operator juga perlu membina baharu atau menaik taraf loji dari semasa ke semasa mengikut jangkaan kapasiti pengguna untuk tempoh tertentu.

“Operator kena buat jangkaan awal berapa tambahan penduduk di sesebuah kawasan kerana apa yang berlaku
ketika ini loji air yang dibina tidak dapat menampung kapasiti penduduk di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau pada masa sama meminta semua operator termasuk Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) menambah baik sistem aduan pengguna.

“Ada aduan menyatakan pengguna sukar untuk menembus talian aduan. Kita harap selepas ini operator dapat menerima aduan dengan cepat seterusnya bertindak sesegera mungkin,” katanya.

Di Pulau Pinang, seorang eksekutif swasta, Amira Sazili, 47, berkata, dia berharap agar kenaikan tarif air baharu yang berkuat kuasa Februari ini mampu memberi jaminan akan kualiti bekalan asas itu kepada 590,000 pengguna di negeri itu.

Ujarnya, rakyat memang memerlukan perkhidmatan air yang baik tanpa berdepan sebarang masalah atau gangguan dalam tempoh yang lama seperti mana berlaku secara berturut-turut, baru-baru ini.

“Gangguan bekalan air luar jangkaan selama tiga hari akibat paip pecah di dasar Sungai Perai pada Disember tahun lalu disusuli dengan gangguan bekalan air berjadual selama 96 jam mulai 10 Januari lalu sememangnya menyukarkan pengguna dalam me­lakukan aktiviti harian.

“Kami akur dengan keputusan kenaikan tarif air di negeri ini, antara yang terendah berban­ding negeri lain, namun ia perlu seiring dengan kualiti perkhidmatannya kepada pengguna. Berdepan gangguan bekalan air lebih 48 jam membuatkan kami kini trauma,” katanya.

Amira memberitahu, sebagai penduduk asal Pulau Mutiara dia juga mengharapkan agar mutu bekalan air yang disalurkan dari Loji Rawatan Air (LRA) adalah paling berkualiti dan terjamin demi penduduk negeri ini.

Kelmarin, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberitahu, kadar tarif air di Pulau Pinang masih merupakan yang terendah di negara ini walaupun berlaku kenaikan tarif selepas SPAN mengumumkan kadar tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN