fbpx
MOHD. BAHARIM dan Nur Hanariawati menjaga kucing kurang upaya sejak 2021 di rumah mereka di Shah Alam, Selangor.

Suami isteri penyelamat puluhan kucing cacat, lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK sahaja melangkah masuk ke dalam bilik utama kediaman dua tingkat itu, penulis disambut oleh sekumpulan kucing lumpuh atau ‘kurang upaya’ yang mengesot ke arah pintu.

Kucing-kucing tersebut lengkap berbaju yang berfungsi sebagai penampung kepada lampin pakai buang dipakai.

Lebih menyayat hati, 24 daripada 25 kucing di ruang itu pada asalnya normal, namun takdir malang menimpa sehingga mengakibatkan ia cacat.

Kucing yang membesar di jalanan atau dibuang oleh tuan asal itu menempuhi trauma apabila dilanggar kereta atau diserang anjing.

Jika mengikut prosedur umum, kucing-kucing kurang upaya berkenaan akan diberikan suntikan euthanasia atau ‘pembunuhan belas kasihan’ oleh veterinar.

Ini kerana, kucing yang lumpuh tidak lagi mampu berdikari termasuk membuang air dan mencari makanan sendiri sekiranya dibebaskan ke jalanan.

Bagaimanapun, kucing-kucing tersebut menemui peluang kedua apabila diselamatkan oleh pasangan suami isteri, Mohd. Baharim Abu Bakar, 46, dan Nur Hanariawati Mohd. Najib, 44.

Menurut Mohd. Baharim, naluri untuk memberikan nikmat kasih sayang kepada kucing-kucing kurang upaya tersebut merupakan amanah daripada Tuhan yang mahu disahut mereka.

“Kami bukanlah orang kaya, tapi alhamdulillah, kami diberi keinginan dan dipermudahkan urusan untuk menjaga kucing-kucing kurang upaya ini.

“Kami mendapatkan nasihat daripada veterinar berkenaan cara penjagaan, makanan, urutan sekiranya perlu dan seumpamanya,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Shah Alam, Selangor.

Kaysee lumpuh sepenuhnya dan badannya perlu dipusing setiap dua jam.

Bagi membantu menampung kos perubatan, di samping melibatkan lebih ramai orang dalam usaha murni itu, pasangan berkenaan membuka laman TikTok, Cerita Kucing Katsumi.

Laman TikTok yang memiliki 251,700 pengikut tersebut juga berfungsi untuk mendidik orang ramai tentang cara penjagaan kucing kurang upaya.

Kongsi Mohd. Baharim, setiap kucing yang diselamatkan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baharu sebelum kembali ceria.

Kebanyakan kucing-kucing tersebut diselamatkan oleh sukarelawan penyelamat haiwan, sebelum ditinggalkan di veterinar.

“Kucing-kucing ini memiliki trauma emosi dan fizikal. Jadi, haiwan ini memerlukan masa sebelum mula bergaul dengan kucing lain.

“Apabila melihat kucing lain bermain, kucing trauma ini juga akan lebih bersemangat untuk melakukan perkara sama,” jelasnya yang mula menjaga kucing lumpuh sejak 2021.

Berbeza dengan kucing-kucing lain yang cacat akibat peristiwa malang, Tommy mengalami kondisi cerebellar hypoplasia sejak dalam kandungan lagi.

Kesannya, Tommy akan mengesot secara baring sambil mengangkat kepalanya untuk bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan.

Sesekali, kedengaran Tommy merengus kerana pergerakannya memerlukan masa yang agak lama untuk tiba di destinasi.

Namun, Tommy diajar untuk berdikari dan tidak diberi bantuan segera untuk membina keyakinan diri.

Selain Tommy, terdapat seekor lagi kucing bernama Kaycee yang lumpuh sepenuhnya setelah diserang anjing jalanan.

MOHD. BAHARIM dan Nur Hanariawati menampung kos menjaga kucing lumpuh menggunakan wang sendiri serta sumbangan daripada orang ramai.

Di saat rakannya lincah mengesot ke sana dan ke sini, Kaycee hanya baring sambil memandang keadaan di sekeliling rumah.

Tambah Nur Hanariawati, Kaycee memerlukan penjagaan lebih rapi dan perhatian penuh berbanding rakan-rakannya lain.

“Setiap dua jam, saya akan alihkan kedudukan Kaycee. Oleh itu, badannya tidak ada luka dan sentiasa dalam keadaan bersih.

“Kaycee makan makanan basah dan minum susu kambing sahaja. Pada waktu petang, saya akan dukungnya dan bawa ‘berjalan’,” katanya.

Biarpun keadaan kucing kurang upaya dan seakan-akan tidak ada harapan untuk sembuh, namun ada juga kucing yang mengalami perubahan besar.

Seekor lagi kucing yang lumpuh sepenuhnya ialah Maru. Setelah dirawat dan diurut, kini ia sudah mampu bergerak serta mengesot.

Maru bukan sahaja dibuang oleh tuan asalnya, malah sempat dilanggar kereta sebelum diseret oleh anjing.

Namun, sekiranya Tuhan berkehendakkan, keajaiban boleh berlaku menerusi keikhlasan pasangan tersebut.

Antara dedikasi yang perlu diberikan termasuk menukar lampin pakai buang kucing lumpuh sebanyak empat kali sehari.

Setiap sesi penukaran lampin kesemua kucing memerlukan masa dua jam dan memerlukan 10 bungkusan lampin setiap minggu.

Lebih unik, kucing-kucing kurang upaya tersebut memakai lampin pakai buang organik bayi yang ditebuk sendiri lubang ekornya.

Menariknya, semua kucing di situ diberi makanan berkualiti tinggi seperti disarankan oleh veterinar bagi menyokong proses penyembuhan.

Ibu kepada tiga orang itu mendedahkan, pihaknya memerlukan RM1,500 seminggu untuk menampung kos makanan, lampin dan keperluan suplemen kucing.

Namun, kerjaya suaminya yang menawarkan perkhidmatan spa serta konsultan haiwan peliharaan sedikit sebanyak membantu usaha mereka.

“Sebahagian besar dana adalah duit kami sendiri. Manakala sebarang derma orang awam akan disalurkan kepada kos perubatan kucing.

“Ada kalanya, kucing-kucing ini mengalami komplikasi dan memerlukan pembedahan dengan kos sangat tinggi.

“Alhamdulillah, sumbangan datang daripada pelbagai pihak yang baik hati termasuk warga Singapura dan Brunei,” katanya.

Mengulas lanjut, Nur Hanariawati mendedahkan bahawa mereka hanya akan menjaga tidak lebih daripada 30 ekor kucing kurang upaya pada satu-satu masa.

Mereka juga tidak akan memberikan kucing berkenaan kepada sesiapa dan menjaganya sehingga ke nafas terakhir.

“Buat masa ini, cuma saya dan suami menjaga kucing ini. Kami mahu memberikan perhatian yang sewajarnya kepada kucing-kucing ini.

“Biarpun setiap kali ada kematian, hati saya remuk, namun saya bersyukur dapat memberi kucing ini peluang untuk disayangi sebelum ‘pergi’ buat selamanya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN