fbpx

Republik Kyrgyz mohon kerjasama Malaysia latih guru TVET, STEM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry (kanan) menerima kunjungan hormat Edil Baisalov dan delegasi Republik Kyrgyz di Putrajaya semalam.

PETALING JAYA – Republik Kyrgyz memohon kerjasama Malaysia untuk melatih guru-guru mereka dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. kadir berkata, permohonan itu dibuat oleh Timbalan Pengerusi Menteri-Menteri Kabinet Republik Kyrgyz, Edil Baisalov kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurut beliau, Edil Baisalov dan delegasi Republik Kyrgyz mengemukakan permohonan berkenaan ketika melakukan kunjungan hormat terhadap beliau di Putrajaya semalam.

“Pihak Republik Kyrgyz memohon kerjasama KPT membantu mereka dalam memberi latihan kepada guru-guru di sana dalam usaha memperkasakan bidang TVET serta STEM melalui pertukaran maklumat dan tenaga mahir,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Zambry berkata, wakil Republik Kyrgyz turut menyatakan minat negara tersebut untuk menghantar lebih ramai pelajar mereka belajar di Malaysia disebabkan budaya, taraf universiti dan kualiti pendidikan di negara ini.

Menurut beliau, penggunaan Bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa perantara di Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia turut menarik minat negara berkenaan menghantar pelajarnya ke Malaysia.

Selain itu, kata beliau, wakil Republik Kyrgyz turut memuji dan mengiktiraf prestasi pendidikan tinggi di Malaysia antara yang terbaik di dunia.

“Edil Baisalov turut memberi cadangan dan menjemput universiti-universiti di Malaysia untuk membuka cawangan kampus persisir di Republik Kyrgyz.

“Ini merupakan satu cadangan baik yang dapat memenuhi isu pengantarabangsaan yang cuba kita capai untuk mana-mana institusi pendidikan tinggi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI