fbpx

Jajaran Seksyen 11 WCE dibuka menjelang Hari Raya Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (tengah) ketika mengadakan lawatan kerja bersama barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak di jajaran Seksyen 11 WCE di,Changkat Jering, Taiping hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

TAIPING – Jajaran Seksyen 11 Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang sedang giat dilaksanakan pembangunannya dijangka dibuka kepada orang ramai menjelang Hari Raya Aidilfitri pada 10 April hadapan.

Jajaran Seksyen 11 melibatkan persimpangan Beruas dan persimpangan Taiping Selatan yang dibangunkan pihak West Coast Expressway Sdn. Bhd. melalui inisiatif penswastaan menghubungkan Taiping di Perak dan Banting di Selangor dengan panjang keseluruhan 233 kilometer.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Nadzrol Fadzilah Ahmad berkata, pihaknya kini sedang menjalankan kerja-kerja pemeriksaan terhadap Seksyen 11 lebuh raya berkenaan sebelum ia diberikan kebenaran untuk dibuka kepada umum.

Katanya, pihaknya sedang berusaha untuk membuka jajaran Seksyen 11 tersebut menjelang Tahun Baru Cina namun perlu memastikan tahap keselamatan laluan berkenaan mencapai piawaian ditetapkan.

“Ada usaha ke arah itu (buka sebelum Tahun Baru Cina), sasaran ada kerana kita tahu ia keperluan rakyat untuk mengelakkan kesesakan tetapi faktor keselamatan adalah keutamaan kami,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Bhd., Lyndon Alfred Felix mengiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk meninjau pelaksanaan projek lebuh raya WCE jajaran Seksyen 11 di sini.

Mengulas lanjut, Nadzrol Fadzilah berkata, pihaknya bagaimanapun mempunyai keyakinan tinggi jajaran Seksyen 11 WCE akan dibuka menjelang Aidilfitri yang disambut pada April hadapan.

Sementara itu, Saarani berkata, sehingga kini, lima daripada keseluruhan 11 seksyen pembinaan lebuh raya itu telah dibuka kepada trafik iaitu Seksyen 5 (Klang-Kapar) dan Seksyen 6 (Kapar-Assam Jawa) di Selangor.

Di Perak pula, menurut beliau, ialah Seksyen 8 (Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (Kg. Lekir-Changkat Cermin) dan Seksyen 10 (Changkat Cermin-Beruas).

“Seksyen 11 (Beruas-Taiping Selatan) yang panjangnya 35.5 kilometer merupakan pelengkap kepada jajaran lebuh raya WCE di bahagian laluan negeri Perak.

“Kerja-kerja pembinaan di Seksyen 11 sedang giat dilaksanakan yang mana kini berada di fasa akhir sebelum dibuka kepada trafik,” katanya.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, bagi Perak, lebuh raya itu sangat penting kerana bakal menjadi laluan strategik bagi memperluas jaringan pengangkutan bukan sahaja antara pekan dan daerah tetapi juga keterhubungan negeri dengan pusat-pusat pertumbuhan ekonomi bermula dari Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut dan Pelabuhan Pulau Pinang.

Katanya, laluan itu juga penting kerana menjadi pemangkin kepada perancangan Perak dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi di sepanjang jajaran pantai barat selain mengubah landskap pelancongan Perak dengan memudahkan akses ke destinasi-destinasi strategik seiring dengan kempen Tahun Melawat Perak 2024.

“Apabila ia dibuka kelak, pengguna jalan raya akan mempunyai pilihan laluan alternatif kepada jalan sedia ada untuk ke kawasan pantai barat di Perak seperti Teluk Intan, Manjung, Pulau Pangkor, Beruas, Trong, Changkat Jering dan Taiping,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI