fbpx

Pemandu lori didenda RM8,000 pindah lembu, kerbau tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sheik Maideen (kiri) ketika hadir di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini. - Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN / KOSMO!

BUTTERWORTH – Seorang pemandu lori didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemindahan sembilan ekor haiwan ternakan tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang.

Tertuduh, Sheik Maideen Ali, 45, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Balqis Roslin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan dua ekor lembu jantan dan tujuh ekor kerbau jantan menggunakan sebuah motolori pada 25 Julai tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bahu jalan hadapan Plaza Tol Sungai Dua Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) kira-kira 1 petang.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Perintah 4(1)(c) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 perintah bawah Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman denda minimum atas alasan menanggung tujuh orang anak dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,500.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu.

Sheik Maideen kemudiannya membayar denda terbabit pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI