KUALA PILAH – Kejadian misteri yang menghantui penduduk di daerah ini memasuki episod baharu apabila menemui kelibat lembaga hitam atau orang minyak di kawasan kediaman mereka kelmarin.
Bukan itu sahaja, lebih menyeramkan apabila mereka terdengar bunyi bisikan dan cakaran pada dinding bilik tidur.
Seorang penduduk, Haslinda Hassim, 54, berkata, dia pada mulanya terdengar bunyi orang jatuh sebelum ternampak susuk tubuh manusia hitam satu badan dalam posisi mencengkam tanah di hadapan rumahnya.
Kejadian itu katanya, kira-kira pukul 10 malam ketika dia bersama ahli keluarganya sedang berbual mengenai tapak kaki berminyak yang ditemui di salah sebuah rumah penduduk.
“Kami terdengar bunyi benda jatuh gedebuk seperti orang tersepak batu. Saya ternampak susuk tubuh hitam mencengkam tanah dan pandangan orang minyak itu tepat ke arah saya.
“Muka memang tak nampak. Macam tidak berpakaian sebelum ‘lembaga’ itu lari laju menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui di Kampung Kepis Hilir di sini semalam.
Ceritanya, tidak dapat dipastikan sama ada lembaga berbulu atau sebaliknya kerana kejadian terlalu pantas. Susulan kejadian itu, penduduk berkawal di rumah sehingga pukul 1 pagi.
“Bagaimanapun, pada pukul 2 pagi, anak saya yang tidur di bilik belakang terdengar bunyi orang berbisik di tepi bilik tetapi tak dengar apa yang dicakapkan. Saya turun dan dengar orang cakar dinding bilik serta main-main cermin tingkap,” ujarnya.
Menurutnya, kejadian itu merupakan kali keempat dalam tempoh dua hari dan benar-benar membuatnya trauma.
“Malam sebelumnya itu, kejadian pertama ketuk perlahan sahaja. Kali kedua dekat pukul 1 pagi dia ketuk kuat macam nak roboh pintu rumah ini. Bila saya pindah rumah saudara di sana pun terima ketukan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Nur Ellisa Zulkifli, 27, berkata, kejadian ketukan misteri di rumahnya kira-kira pukul 9.30 malam kelamrin membawa kepada penemuan kesan tapak kaki tidak sempurna iaitu tiada tumit di ruang hadapan kediamannya.
“Memang jelas sebab tapak kaki ini kelihatan berminyak. Saya rasa takut sebab kita tak nampak dia tetapi dia cuba masuk ke rumah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kepis, Mohmmad Sah Sulaiman, 44, berkata, setakat ini, sebanyak 14 buah rumah penduduk menerima ketukan misteri dan ada antaranya berulang.
Menurutnya, pelbagai usaha dijalankan termasuk mengadakan majlis bacaan Yassin dan solat hajat disusuli dengan perubatan tradisional serta terbaharu menggunakan ikhtiar ustaz.
“Ikhtiar ni ada nampak perubahan, ‘lembaga’ itu sudah menonjolkan diri yang jelas bentuk menyerupai manusia. Selain rumah penduduk di Kepis Hilir ini, penduduk di Kepis Hulu juga nampak lembaga yang sama berdiri di depan pintu gelangsar.
“Kesan tapak kaki pun berbeza, tapak kakinya tanpa tumit serta berminyak tapi seolah minyak pelincir yang masih bersih belum digunakan,” katanya.
Menurutnya, seorang pengamal perubatan datang semalam bagi membantu memagarkan kawasan rumah dengan menggunakan barang-barang seperti garam kasar dan lada hitam.
“Saya sudah beli 150 kilogram (kg) garam kasar dan 10 kg lada hitam untuk tujuan itu. Kita fokuskan rumah yang pernah terima ketukan misteri di kampung di Kepis ini iaitu Kepis Hilir, Ulu dan Baru.
“Kemudiannya kita usaha pula rumah yang banyak penghuni perempuan kerana kediaman itu menjadi sasaran ketukan misteri,” katanya.














