fbpx

Jabatan Peguam tolak representasi kaji 10 pertuduhan Azlan Man

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlan Man (kameja biru) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh IQBAL ROSLI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man bagi mengkaji 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai pada sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi di sini hari ini.

“Prosiding hari ini untuk maklumkan mengenai keputusan representasi dan untuk pengetahuan mahkamah representasi tersebut telah diterima dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara, namun ia ditolak.

Mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan yang bermula 18 Julai ini dan beberapa tarikh lain,” kata Noralis.

Untuk rekod, Azlan menghantar representasi untuk mengkaji 10 pertuduhan tersebut pada 9 November tahun lalu.

Selepas mendengar makluman pihak pendakwaan itu, Hakim Azura kemudian menetapkan pengurusan kes pada 14 Jun ini untuk pihak-pihak mengemaskini dokumen atau fakta serta pernyataan saksi.

Dalam prosiding hari ini, peguam Muhammad Adam Burhanudeen mewakili Azlan.

Pada 10 November tahun lalu, Azura menetapkan perbicaraan selama sembilan hari pada 18 dan 19 Julai, 1 dan 2 Ogos serta 19 hingga 23 Ogos 2024.

Pada 10 April 2023, Azlan, 65, didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, di Kangar, antara Disember 2013 hingga Disember 2017.

Bagi semua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kemudian pada 12 April 2023, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu didakwa lagi dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini, antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.

Bagi pertuduhan itu, pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI