fbpx

Warga emas maut, kereta terbabas ‘dicucuk’ rapat Myvi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kereta dipandu Yahya selepas dilanggar Myvi dari arah belakang sebelum bertembung dengan sebuah lori di Hutan Simpan Sungai Udang, Melaka.

ALOR GAJAH – Seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya terbabas ke laluan bertentangan gara-gara diekori rapat sebuah Perodua Myvi di Jalan Hutan Simpan, Masjid Tanah di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Yahya Mohd. Talip, 70, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menuju ke Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah Myvi dipandu lelaki berusia 31 tahun telah mengekori rapat kereta mangsa sehingga melanggar bahagian belakang kereta Proton Saga berkenaan.

“Kereta mangsa kemudian telah terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori,” ujarnya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, akibat kemalangan itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Pemandu Myvi serta tiga penumpang dibawanya masing-masing berusia 19, 20, dan 24 tahun bagaimanapun terselamat.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI