fbpx

Kuota diesel diperluaskan sektor barangan, elak impak logistik kepada rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan ketika mengisi minyak diesel pada projek rintis di syarikat barangan, Perceptive Logistic Sdn. Bhd. di Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Klang hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

KLANG – Pemberian kuota diesel subsidi akan diperluaskan kepada sembilan sektor barangan bagi menangani isu risiko impak kenaikan logistik yang dibebani oleh rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, inisiatif penyasaran semula subsidi melalui pelaksanaan Program Sistem Kawalan Diesel Subsidi 2.0 (SKDS 2.0) dengan kadar khas itu melibatkan lori kargo am, lori luton atau kotak, lori tangki air, lori minuman botol, penggerak utama, panel van, lori sejuk beku, lori tangki tepung dan window van.

Katanya, pada ketika ini SKDS adalah kepada sektor pengangkutan darat awam dan barangan.

“Kita juga akan memperluaskan penggunaan fleet card iaitu menggunakan sistem Mysubsidi Diesel KPDN kepada sektor barangan berbanding skid tank iaitu permohonan dan pemprosesan secara manual.

“Mekanisma fleet card ini adalah bagi menambah baik kaedah kawal selia dalam pemberian kuota diesel supaya hanya kenderaan layak dapat menikmati subsidi yang diberikan. Ia seterusnya dapat menangani ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi dengan lebih efektif melalui kaedah digital,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau melawat syarikat barangan, Perceptive Logistic Sdn. Bhd. di Perindustrian Bandar Sultan Suleiman berkenaan projek rintis SKDS 2.0 .

Armizan menjelaskan, fleet card memastikan pematuhan dan kawalan lebih telus dan berkesan dengan rekod berkaitannya akan diperoleh daripada syarikat stesen minyak tersebut.

“Kita di peringkat kementerian akan mendapatkan rekod daripada syarikat pengeluar minyak itu termasuk nombor pendaftaran, kenderaan didaftarkan, penggunaan yang lebih menyeluruh berbanding kaedah skid tank hanya diawasi oleh sistem dalam syarikat (pengangkutan) itu.

“Kaedah digital secara langsung membantu mengurangkan kos kawalan serta penguatkuasaan yang dibuat secara fizikal. Dengan itu, memberi lebih peruntukkan kepada program-program pembangunan lain untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, enam syarikat akan terlibat dalam projek rintis SKDS 2.0 yang akan menerima kuota saluran fleet card berkuatkuasa pada 1 Februari depan. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI